PETALING JAYA: Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (ACSR) mengadakan perundingan awam dalam talian pada bulan hadapan bagi mendapatkan maklum balas penggunaan piawaian pendedahan kemampanan yang dikeluarkan oleh Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa (ISSB) di Malaysia.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dalam kenyataan berkata, ACSR akan dipengerusikannya dan dibentuk dengan pengesahan Kementerian Kewangan, terdiri daripada wakil Bank Negara Malaysia (BNM), Bursa Malaysia Berhad, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Pemantauan Audit dan Yayasan Pelaporan Kewangan.
“Perundingan ini dilaksanakan selama enam minggu dan orang ramai boleh beri pandangan atau maklum balas mengenai pertimbangan kritikal termasuk pendekatan pelaksanaan, masa dan jaminan pendedahan kemampanan,” katanya.
Tambahnya, ISSB membangunkan dua piawaian pertamanya bagi standard yang sama bagi mendedahkan maklumat kemampanan, termasuk risiko dan peluang berkaitan iklim selepas maklum balas dan pertanyaan daripada G20, Lembaga Piawaian Kestabilan Kewangan, Pertubuhan Suruhanjaya Sekuriti Antarabangsa (IOSCO), komuniti perniagaan serta pelabur.
Mengulas perkara itu, Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, sektor kewangan harus memudahkan pembiayaan dan pelaburan bagi menyokong inisiatif utama kerajaan menangani isu kemampanan termasuk kesan iklim perubahan pada ekonomi.
Awang Adek berkata, ketersediaan pendedahan yang boleh dipercayai dan setanding dengan piawaian antarabangsa amat penting untuk memudahkan pengumpulan dana.
“Perkara itu sama penting dalam pelaksanaan perkadaran dalam penggunaan piawaian dan kesalingoperasian antara rangka kerja global dan domestik,” katanya.
Jelasnya, ia bagi meringankan beberapa cabaran yang mungkin dihadapi syarikat semasa mereka beralih kepada piawaian baharu.
Sementara itu, Pengarah Urusan SC dan Pengerusi ACSR, Datuk Kamarudin Hashim berkata, pihaknya sedar terdapat permintaan untuk tindakan dan maklumat berkaitan kemampanan mengenai penerbit tidak tersenarai.
“Kami amat menggalakkan semua pihak berkepentingan, termasuk penyedia, pelabur, penyedia jaminan kemampanan dan agensi penarafan berkongsi pandangan bagi membantu membentuk rangka kerja pelaporan kemampanan negara,” katanya. – UTUSAN










