Bursa Malaysia dibuka tinggi, kaunter untung atasi rugi

Bursa Malaysia dibuka tinggi, kaunter untung atasi rugi

BURSA Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, menjejaki rali di Wall Street berikutan pengambilan untung selepas penjualan baru-baru ini.

Pada pukul 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.35 mata kepada 1,490.96 daripada 1,487.61 penutup Jumaat lalu, memetik laporan Bernama.

Menurut laporan itu, FBM KLCI dibuka 0.99 mata lebih baik pada 1,488.60.

Jelasnya, di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 299 berbanding 161, manakala 356 kaunter tidak berubah, 1,404 tidak diniagakan dan 19 lagi digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 531.69 juta unit bernilai RM203.24 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng berkata, berikutan rali Wall Street, Purata Perindustrian Dow Jones meningkat 26 mata atau 0.07 peratus pada Jumaat, manakala Nasdaq menambah 14 mata atau 0.1 peratus.

Katanya, di Asia, indeks utama berakhir bercampur-campur apabila penjualan saham teknologi berterusan di Hong Kong dan pasaran hartanah yang lembap memberikan tekanan ke atas saham hartanah.

“Akibatnya, Indeks Hang Seng merosot sebanyak 111 mata atau 0.66 peratus,” katanya.

Di pasaran tempatan, Thong menjangka, pembelian saham tempatan akan berterusan berikutan sokongan kukuh daripada dana asing dan sentimen pasaran yang bertambah baik. Beliau pada masa sama tidak menolak kemungkinan aktiviti pengambilan untung berlaku.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan berada dalam aliran julat antara 1,485 hingga 1,495 untuk hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Malayan Banking Bhd. menokok dua sen kepada RM9.08, Public Bank Bhd. pula meningkat dua sen kepada RM4.35, CIMB Group Holdings Bhd. naik dua sen kepada RM6.02, dan Petronas Chemicals Group Bhd. menokok empat sen kepada RM7.24, Tenaga Nasional Bhd. turun dua sen kepada RM10.48.

Dalam kalangan saham aktif, Ta Win Holdings Bhd. naik setengah sen kepada 4.5 sen, Minetech Resources Bhd. naik setengah sen kepada 22 sen, Fitters Diversified Bhd. naik setengah sen kepada enam sen, manakala Hong Seng Consolidated Bhd. rugi setengah sen kepada 2.5 sen dan MQ Technology Bhd. tidak berubah pada 2.5 sen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×