PETALING JAYA: Ringgit kembali dibuka positif hari ini didorong oleh dolar AS tidak berubah selepas data pengambilan pekerja terbaharu negara itu `menafikan’ kebimbangan mengenai kemelesetan.
Pada pukul 9.01 pagi, ringgit meningkat kepada 4.6480/6545 berbanding dolar AS daripada penutup Jumaat lalu pada 4.6525/6580, memetik laporan Bernama.
Menurut laporan itu, data ekonomi terkini dari AS bercampur-campur, menunjukkan negara ekonomi terbesar dunia itu kekal berdaya tahan walaupun berdepan kelemahan.
Data itu menunjukkan sebanyak 216,000 pekerjaan baharu diwujudkan pada Disember, melepasi unjuran sebanyak 170,000 pekerjaan.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, tumpuan akan diberikan kepada data inflasi AS minggu ini.
“Inflasi dijangka kekal stabil pada sekitar 3.2 peratus pada Disember, manakala indeks teras harga pengguna (CPI) dijangka turun lebih rendah kepada 3.8 peratus daripada 4.0 peratus sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding pound sterling kepada 5.9132/9215 daripada 5.8891/8961 pada Jumaat, susut berbanding euro kepada 5.0886/0957 daripada 5.0763/0823 dan susut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.2144/32088 daripada sebelumnya.
Pada masa yang sama, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kebanyakan mata wang ASEAN.
Ia rendah sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.4968/5020 daripada 3.4944/4988, dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.4107/4364 daripada 13.4001/4236 sebelumnya.
Ringgit tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.37/8.39 daripada 8.37/8.38 dan meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 299.5/300.1 daripada 299.8/300.3 Jumaat lalu. – UTUSAN










