PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) di bawah kementerian itu tidak berkesan dalam meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah Bahagian Pengawalan Padi dan Beras kementerain berkenaan, Datuk Azman Mahmood berkata, penilaian bagi program SMART masih terlalu awal dan ia baru sahaja dilaksanakan pada tahun 2021 yang lalu.
“Pihak Pengilang tidak boleh membuat ulasan terlalu cepat kerana program ini mengambil masa kerana melibatkan kerjasama di antara pesawah dan juga pihak industri,” katanya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Musonnef Md. Radzi berkata, Kadar Tahap Sara Diri (SSL) pengeluaran beras negara yang disasarkan 75 peratus menjelang 2025 sukar dicapai ekoran program yang dirancang tidak mencapai sasaran.
Katanya, program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperkenalkan pada Februari 2021 bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi dan beras negara, sehingga kini belum mencapai matlamatnya.
“Mengikut perancangan, SMART SBB menyasarkan 150,000 hektar kawasan bertanam padi dengan purata pengeluaran hasil tujuh tan metrik per hektar,” katanya.
Menurut Musonnef, tidak sampai 70 peratus sasaran walaupun kini sudah 2024 dan hanya tinggal setahun sebelum sampai sasaran pertama iaitu 75 peratus.
Menyangkal dakwaan tersebut, Azman berkata, kerajaan sangat komited bagi memastikan Malaysia mampu bergantung kepada penghasilan bekalan beras tempatan berbanding beras import.
“Untuk setahun pertama program ini, kita buat projek rintis untuk bagi pada syarikat 100 hektar pertama dahulu dan projek ini akan diperluaskan lagi, sebab itu masih belum ada capaian sasaran,” katanya.
Tambah beliau, KPKM sedang dalam proses untuk memperkembangkan lagi Program SMART di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
Katanya juga, sudah cukup untuk beberapa pihak mempolitikkan lagi isu beras dan sepatutnya bersama-sama berganding bahu dalam meningkatkan lagi pengeluaran beras untuk menjamin keterjaminan makanan di Malaysia.
“Kita sepatutnya bersama-sama berusaha untuk memikirkan jalan dan cara bagi meningkatkan lagi bekalan beras, bukan menunding jari,” katanya. – UTUSAN











