OPR dijangka kekal 3.0% - Pakar Ekonomi

OPR dijangka kekal 3.0% – Pakar Ekonomi

BANK NEGARA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada 24 Januari ini dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus, kata pakar ekonomi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr. Mohamad Khair Afham Muhamad Senan berkata, OPR dijangka akan kekal kerana tiada kejutan kepada ekonomi negara yang perlu diatasi menggunakan mekanisme tersebut.

“Kadar ringgit semakin stabil jika dibandingkan tahun lepas dan seakan memberi `signal’ kepada MPC untuk tidak perlu mengubah kadar OPR,” katanya.

Jelasnya, pasaran buruh juga sudah semakin menaik dari sudut prestasi dan kadar pengangguran semakin menurun sepanjang 2023.

Bagaimanapun, Khair berkata, jika ada kenaikan OPR dalam tempoh terdekat, ramai pekerja yang baharu dalam pasaran buruh akan merasa impaknya.

“Sedikit kenaikan akan memberi impak kepada rakyat kerana peratusan rakyat memiliki hutang yang tinggi, terutamanya pinjaman rumah, kereta, kad kredit, dan pinjaman peribadi,” jelasnya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid turut berpendapat, OPR tidak perlu dinaikkan kerana aras 3.0 peratus sedia ada berjaya menangani kadar inflasi yang telah turun 1.5 peratus pada November 2023.

Jelas Aimi Zulhazmi, kadar semasa OPR kelihatan stabil dan menyokong pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan.

Dalam pada itu, beliau menambah, Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat pada mesyuarat terbarunya minggu ini membayangkan kadar sekarang 5.25 peratus akan dikekalkan lebih lama dan diturunkan pada waktu yang singkat seperti yang diharapkan.

Ini kerana, ia kerana belum mencapai sasaran menurunkan kadar inflasi kepada 2 peratus disebabkan kadar sekarang masih lagi pada 3 peratus.

“Kalau diturunkan kadar faedah itu, mungkin hanya pada suku ketiga atau suku keempat tahun 2024  dan bukannya seawal suku pertama atau suku kedua,” katanya.

Untuk rekod, BNM telah mengekalkan OPR sebanyak 3.0 peratus sejak mesyuarat MPC pada 6 Julai 2023 selepas dinaikkan sebanyak 25 mata asas daripada 2.75 peratus.

Kenaikan itu dalam usaha Bank Pusat untuk mengawal peningkatan inflasi yang dikhuatiri boleh memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi seluruhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×