Saya doa pengkhianat itu merudum – Anwar - Utusan Malaysia

Saya doa pengkhianat itu merudum – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Namanya pernah menggegar tanah air dengan laungan reformasi. Kemampuan berpidato yang luar biasa berjaya menarik ramai golongan masyarakat turun ke jalanan pada 1998 bagi menyokong beliau.

Masa berlalu dengan pantas. Selepas lebih 20 tahun menggembleng kudrat demi menukar kerajaan, usaha untuk menduduki kerusi empuk Perdana Menteri nampaknya mula bersinar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang berlangsung pada 2018, sosok yang dimaksudkan iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat mempunyai peluang cerah menjadi pemimpin negara.

Pun begitu, tak sampai dua tahun berkuasa, Pakatan Harapan (PH) kecundang di tengah jalan apabila percaturan pihak tertentu telah mencetuskan ‘Langkah Sheraton’. Sejak itu, banyak pandangan berlegar kononnya ia detik penamat buat beliau menyimpan hasrat menjadi Perdana Menteri.

Soalnya, adakah empunya diri berpandangan yang sama? Sejauh mana moral dan motivasi masih berbenih, setelah usaha demi usaha yang dilakukan sentiasa dipatahkan pihak lawan?

Menjawab persoalan politik paling optimum tanah air ini, wartawan Mingguan Malaysia Fauziah Arof, Roshihan Annuar Yub, Fahmi Faiz dan Aida Rizmariza Kamaruddin bertemu bual dengan Anwar di kediamannya di Petaling Jaya, pada Rabu lalu. Ia turut dibantu jurugambar Mohd. Farizwan Hasbullah serta juruvideo Mohd. Fikri Fadzil.

MINGGUAN MALAYSIA: Macam mana perkembangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini?
Anwar: Kita ada beberapa pertubuhan di Selangor, Negeri Sembilan dan beberapa negeri lain yang memberi tumpuan kepada soal jentera pilihan raya. Jadi soal rundingan, soal perubahan kerajaan satu hal, tapi tugas jentera parti memperkukuhkan jentera dalam menghadapi pilihan raya.

Sudah ada calon pilihan raya akan datang?
Calon belum muktamad, tetapi seperti biasa ada fokus tentang pimpinan terhadap golongan muda dan wanita. Kalau tidak ada campur tangan langsung daripada pimpinan, mungkin akan tersisih angkatan muda dan wanita, kerana kita lihat ada keperluan menonjolkan tokoh-tokoh baru dan profesional.

Adakah pencalonan kali ini lebih ketat demi elakkan berlaku lompat parti?
Saya setuju untuk buat saringan lebih ketat. soal pengkhianatan, sogokan wang dan dijanjikan kedudukan menjadikan mereka ini tidak ada daya tahan.

Adakah baiah atau akujanji untuk elak calon PKR melompat?
Sekarang ini janji ke, baiah ke terlingkup semua (tertawa). Kadang-kadang kita ada keterbatasan. Saya mengaku ada kelemahan sama ada daripada proses saringan dan juga kelemahan saya dalam menilai tokoh-tokoh. Saya kira asas agama, akhlak dan akal budi itu harus ditekankan.

BUKAN SEBAB KUASA
Adakah PKR berlapang dada bekerjasama dengan UMNO?
Ini bukan soal PKR nak terima UMNO atau UMNO nak terima PKR, malah perkara ini masih terlalu awal. Tapi apa yang penting, kita kena guna naratif baharu iaitu politik yang merangkul semua.

Apa maksud merangkul semua?
Merangkul semua dalam erti kata, kita tak mahu ada strategi yang menyisihkan kelompok. Tapi yang lebih penting daripada perpaduan, kita harus ajukan perpaduan yang untuk apa? Untuk yang macam kisah Ali Baba dengan 40 penyamun? Mereka bersatu padu juga, tapi perpaduan untuk menyamun, untuk pertahankan kebejatan masing-masing.

Maksudnya memang ada usaha nak bekerjasama?
Kalau konteks ini difahami, maka kalau kemungkinan kerjasama kita, yang kita lakukan dengan Amanah dan DAP, dan kini dengan UMNO yang sehaluan ini, bukan sebab kita nak pertahankan kuasa serta suara-suara pihak tertentu dalam UMNO yang nak pertahankan kedudukan menteri-menteri dia at all cost, sampai boleh meninggalkan pimpinan dan semangat perjuangan parti. Tapi kalau mereka terima landasan ini, ia landasan berteraskan idealisme.

SAMPAI BILA NAK TAKSUB PARTI
Apa Datuk Seri cuba sampaikan?
Saya berpuluh tahun dengan UMNO sebab apa? Sebab saya yakin dengan idealisme itu. Jadi kalau idealisme itu dijadikan landasan, maka saya tak fikir ada masalah.

Akar umbi PKR pula macam mana? Sebab bukankah ideologi UMNO dan PKR sangat berbeza?
Berbeza dari segi pelaksanaan dan ketelanjuran. Dari segi menegakkan dan mengangkat darjat orang Melayu, dalam konteks Malaysia, UMNO dengan MCA, MIC dulu berpakat sakan, tiada pula isu. Nak membanteras rasuah, itu dasar parti. Nak meninggikan syiar Islam, atau memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas, saya tak fikir ada percanggahan di sini.

Maksudnya, akar umbi tiada masalah?
Di pihak UMNO, tentulah pimpinan UMNO harus selesaikan. Kalau PKR pula, saya boleh jelaskan kepada akar umbi. Sampai bila kita nak taksub dengan parti, seolah-olah parti sahaja, sedangkan parti itu sebenarnya hanya satu landasan atau wahana (perantaraan) sahaja.

FAEDAH KERJASAMA PKR-UMNO

Tapi bukankah ada batas-batas dalam parti lebih-lebih lagi bab kerjasama?
Maknanya kita tentulah terikat, ada kesetiaan kepada parti. Tapi taksub kepada parti, ia seharusnya taksub kepada idealisme perjuangan, itu yang sepatutnya. Kalau tanya sampai bila nak taksub, saya jawab parti itu sebagai wahana, tapi yang penting itu landasan perjuangan.

Jadi apa faedah bekerjasama dengan UMNO?
Apa baiknya sekarang? Kita tak tahu apa akan berlaku antara PKR dengan UMNO ini, kerana ada juga suara-suara yang tak setuju. Mereka bukan tak setuju dengan perjuangan ini, tapi tak setuju pasal mereka takut hilang jawatan menteri. Tapi kalau ini landasannya, saya tak fikir ada masalah walaupun ia masih di peringkat awal.

Sudah ada sebarang rundingan?
Perbincangan ada, perbincangan yang tak rasmi.

Perbincangan dengan siapa dalam UMNO?
Dengan pimpinan parti, dan ia hanya perbincangan awal. Tapi dalam perbincangan awal ini, apa yang saya dapat kesan? Ia satu yang positif. Sebab kita lebih faham mereka (UMNO) dan mereka lebih faham kita.

TAKUT MAKAN DIRI

Tak takutkah kalau percaturan UMNO itu hanya satu strategi politik yang kelak akan makan diri dan parti?
Belum ada sebarang keputusan, tetapi kita memberikan ruang dan kita lihat beberapa kenyataan pimpinan UMNO agak lebih tegas dalam hal menyelamatkan ekonomi negara dan menolak kerajaan Perikatan Nasional yang tak sah ini. Pada masa sama dasar ekonomi yang seharusnya pro rakyat, itu harus diketengahkan, itu semua nampak selari (antara dua parti ini). Sehinggakan DAP pun ambil pendekatan yang lebih lunak terhadap kemungkinan kerjasama ini dalam hal-hal yang kita sepakati.
Boleh ulas lanjut?
Sudah berlaku pun di Johor, Menteri Besarnya UMNO, Timbalan Speaker pula DAP. Di Perak pun sama. Jadi saya fikir masa depan Malaysia ini harus menunjukkan keberanian pimpinan politik untuk letakkan naratif baharu. Bukan saja membentuk pakatan politik untuk berkuasa, tapi pakatan yang lebih kuat untuk menyelamatkan negara daripada kebobrokan yang ada sekarang.

Jadi tak mustahil lah kerjasama PKR-UMNO itu?
Bukan sahaja tak mustahil, malah saya tak menolak kemungkinan itu.

Andai kerjasama ini benar-benar terjadi, bagaimana pula komponen dalam PH yang sebelum ini asyik melabel UMNO sebagai perasuah?
Rasuah ini, yang menghukum ialah hakim bukan pendakwa. Pendakwa ini buat tuduhan saja, tapi yang menghukum, hakim. Maksudnya, hakim yang bebas (tertawa). Jadi kita harus terangkan, isu apa sebenarnya kerjasama PKR-UMNO ini. Pertama, good governance yakni tata kelola kerajaan yang baik. Kedua, isu pemacuan ekonomi atau mempercepatkan proses perubahan ekonomi yang sangat diperlukan oleh negara. Jadi bagi saya kalau kita berpakat untuk selamatkan negara, yang majoritinya orang Melayu dan bumiputera, maka itu diharuskan.

Bagaimana pula tentangan yang menolak kerjasama ini?
Saya tak fikir ada suara yang keras menentang. Misalnya, Ronnie Liu dari DAP pun, dia sudah ubah sikit pandangannya. Saya tengok ada kenyataan, dia sebut kita harus sedia bekerjasama asalkan jangan meninggalkan prinsip dan idealisme.

KONSPIRASI GAGALKAN ANWAR

Pandangan Datuk Seri, kenapa PH tumbang dan apa perasaan waktu itu apabila gagal jadi PM?
Bukan gagal (jadi PM), cuma belum lagi … (tertawa). Ada banyak pandangan, Tun Dr. Mahathir beri pandangannya, Tommy Thomas ada pandangannya dan pelbagai yang lain turut ada pandangan masing-masing. Tapi pada fahaman saya, hal ini bukan satu kejutan. Telah ada satu persiapan yang lebih awal termasuk kelompok yang khianat daripada PKR dan Bersatu, dan saya juga ada hubungan dengan pemimpin UMNO, yang beri gambaran sedemikian.

Apa berlaku seterusnya?
Saya jumpa Tun Dr. Mahathir, bincang dengan beliau. Dia kata semua okay, jadi saya pun faham lah. Tapi sekarang ini ia sudah terdedah, kita ada rakaman audio, kita ada kenyataan, malah kenyataan ustaz Hadi Awang misalnya. Maksudnya perkara kejatuhan PH itu berlaku dengan direncanakan konspirasi itu agak lama.

Siapa konspirator utama?
Saya fikir yang berlaku ini, kalau tanpa dalangnya, maka ia tak akan berlaku. Siapa dalang itu? Umpamanya pengkhianatan dalam PKR itu sendiri, yang melakukannya tak akan ada keberanian kalau tiada back up di belakangnya secara langsung atau tak langsung. Cukup setakat itu (tertawa).

SAYA DOA MERUDUM SEMUA!

Setuju atau tidak akta lompat parti digubal dan dibincangkan di Parlimen?

Kita terbuka. Saya lebih setuju supaya ada undang-undang itu. Tetapi kita harus juga berfikir, sesetengah berpandangan ini hak asasi. Dia berada dalam satu parti, tetapi parti itu sudah menyeleweng misalnya. Ada masalah itu juga. Bagi saya sudah sampai ketikanya kita harus bahaskan untuk memutuskan perkara ini.

Tapi bukankah seolah-olah menipu pengundi?
Yang itu betul. Saya setuju. Tapi orang yang khianat ni takkan menang. Adakah yang khianat boleh menang? Belum ada, kalah teruk semua. Dan saya pun berdoa agar yang khianat itu terus merudum. Pengalaman kita dari 2004, yang khianat itu semua merudum. Sebaik sahaja dia khianat pengundi akan menghukum.

Siapa Melayu berwibawa yang boleh diangkat sebagai Perdana Menteri?
Itu bergantung kepada mesyuarat pimpinan parti, serta keputusan rakyat.

Masih akan kekalkan kerusi di Port Dickson?
Kalau orang nak, kita boleh fikirlah. Saya ingat nak bertanding di Pagoh. Boleh? Guraulah (ketawa).

REGIME CHANGE

Komen Datuk Seri mengenai usaha SPRM nak perkasa isu dana politik?
Cadangan itu bagi saya baik, tetapi SPRM harus teluslah.

Bagaimana PH ada dana besar melancarkan regime change melalui reformasi dan Bersih, sedangkan waktu itu hanya pembangkang?
Dana kalau dalam majlis-majlis kita, sokongan dari orang ramai itu besar. Saya ingatlah beberapa program saya dahulu ketika berceramah. Orang bantu. Kalau kamu masih ingat pada 1998, waktu mula-mula saya dipecat, kamu tahu orang di Kerinchi ini. Mereka dari warung-warung kecil ini hantar kuih, hantar air, beratus-ratus tong, mereka naik teksi hantar.

Boleh jelaskan lebih lanjut?
Ketika saya dalam penjara, ada seorang pakcik dari kampung di Nilai, sebelum itu dahulu saya pernah melawat di kampungnya lihat bumbung rumahnya rosak sikit. Saya beritahu suruh baiki segera, adalah kos dalam RM6,000-RM7,000 dan pakcik itu ingat rupanya. Ketika saya di penjara, dia datang naik bas ke Pudu, dan naik teksi pergi ke rumah saya jumpa Datin Seri Wan Azizah. Dia bawa telur asin. Rupanya dia berniaga telur asin. Dia minta beri pada Anwar di penjara Sungai Buloh. Banyak orang macam itu tolong saya. Ada juga syarikat-syarikat yang bantu. Selain itu kita ada potongan untuk ahli-ahli Parlimen dan ADUN yang tinggi, yang mana tiap-tiap bulan sehingga 25 peratus.

MASIH NAK JADI PM

Adakah Datuk Seri masih bercita-cita untuk menjadi PM? Andai kata pilihan raya nanti tidak berjaya, adakah akan berundur dari politik?
Saya harus terima kenyataan bahawa saya masih jadi calon Perdana Menteri bagi PH, dan insya-Allah kalau boleh diberikan sokongan oleh rakyat saya akan teruskan untuk menjaga kepentingan terutamanya rakyat bawahan. Saya tahu yang kaya raya ada duit berbilion-bilion itu memang tak berapa setujulah. Tokoh yang billion-bilion ini, dia memang takut dengan saya. Saya ingat rakyat lebih faham dan lebih selesa.

Ada peringat umur tertentu bersara? Atau nak ikut cara Tun Mahathir?
Saya taklah. Walaupun sihat alhamdullillah, tapi fikir ada tempoh yang tertentu kita perlu beri laluan kepada generasi baru. Janganlah suruh sampai 95 tahun (tertawa).

KES BANGLO GUAN ENG

Dulu sewaktu PH perintah, kenapa kes banglo Guan Eng digugurkan Tommy Thomas?
Tommy Thomas gugurkan kes, pada hemat saya, tindakan beliau itu sepatutnya dibuat dengan penjelasan dengan teliti.

Maksudnya?
Maksudnya tindakan beliau tarik balik kes itu, sepatutnya disusuli dengan justifikasi dan penjelasan yang teliti. Namun pendapat peribadi saya, kalau kes banglo Daim itu, eh Daim pula, banglo Guan Eng maksud saya (tertawa). Dalam kes banglo Guan Eng itu, kalau nak banding dengan kediaman rasmi Ketua Menteri, jauh lah lebih kecil banglo itu. Jadi tafsiran orang terutama masyarakat Cina Pulau Pinang, nampak sangat maksudnya untuk menekan. Tapi kalau ada bukti yang jelas, boleh buka semula kes itu dan saya tiada masalah. Cuma pada masa PH itu, Peguam Negara tak beri penjelasan yang lebih teliti. – MINGGUAN MALAYSIA

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×