Agrobank umum bantuan banjir kepada pelanggan terjejas

Agrobank umum bantuan banjir kepada pelanggan terjejas

TENGKU AHMAD BADLI SHAH RAJA HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank mengumumkan pelan bantuan banjir bagi pelanggan sedia ada yang terkesan berikutan bencana banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Bantuan tersebut meliputi penjadualan atau penstrukturan semula pembiayaan dan tawaran moratorium sehingga enam bulan, khusus untuk pelanggan-pelanggan bank yang layak.

Pelan ini ditawarkan kepada pelanggan Agrobank yang terjejas akibat banjir di Selangor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan negeri-negeri lain di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, pihaknya memahami kesukaran pelanggan yang terkesan akibat banjir baru- baru ini.

“Agrobank proaktif dalam merangka pelan khusus untuk mengurangkan beban yang dihadapi mereka dan diharapkan bantuan pembayaran ini membantu mereka dalam mengharungi tempoh mencabar ini.

“Saya dimaklumkan ada di antara pelanggan kami yang mengalami kerosakan pada harta benda,ladang dan kegiatan pertanian mereka. Ini secara tidak langsung memberi kesan kepada sumber pendapatan dan perniagaan mereka,”  katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, terdapat pelanggan memerlukan penangguhan dalam melaksanakan tanggungjawab kewangan mereka untuk memulihkan semula perniagaan.

“Justeru itu, bagi pelanggan yang layak, mereka boleh memohon untuk mendapatkan kemudahan bagi membina semula perniagaan masing-masing.

“Agrobank juga akan menghubungi para pelanggan kami bagi membantu mereka menghadapi situasi ini,” katanya.

Bagi pelanggan yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berkaitan bantuan banjir Agrobank, boleh hubungi pusat perkhidmatan pelanggan di 1300882476 atau boleh memohon di laman sesawang di www.agrobank.com.my atau berkunjung ke mana-mana cawangan Agrobank.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×