Sektor agrikomoditi dijangka cecah RM80 bilion pada 2023 – Johari

Sektor agrikomoditi dijangka cecah RM80 bilion pada 2023 – Johari

parlimen
JOHARI Abdul Ghani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sektor agrikomoditi negara dijangka menyumbang sekitar RM80 bilion tahun lalu atau lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) biarpun berdepan cabaran global.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, nilai eksport bagi sektor itu pula dijangka mencecah RM155 bilion atau 11 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara.

Beliau berkata, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga mengunjurkan pertumbuhan global berkembang sebanyak tiga peratus pada 2023 dan 2.9 peratus pada 2024 susulan pemulihan global pasca pandemik, ketegangan geopolitik dan kenaikan kadar faedah oleh beberapa negara.

“Selain itu, laporan IMF juga menyebut pertumbuhan KDNK dalam kalangan ekonomi negara maju pula dijangka menyederhana pada kadar 1.5 peratus pada tahun lalu dan 1.4 peratus pada tahun ini berikutan aktiviti pembuatan yang perlahan walaupun sektor perkhidmatan mengukuh.

“Sementara itu, perdagangan dunia dijangka terus menyederhana kepada 0.9 peratus pada tahun lalu dan 3.5 peratus pada tahun ini yang menggambarkan permintaan global yang lebih rendah dan peralihan ke arah perkhidmatan domestik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini, semalam.

Pada masa sama, Johari memaklumkan sektor agrokomoditi negara juga berdepan cabaran domestik apabila ekonomi Malaysia diunjur berkembang antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada tahun 2024 berbanding 4.0 peratus yang disasarkan tahun lalu.

Menurutnya, perkembangan ekonomi dunia dan domestik pula akan terus stabil dan berpihak kepada kementerian walaupun terpaksa berdepan isu kekurangan pekerja dan keluasan tanah pekebun kecil.

“Justeru kementerian perlu lebih proaktif dalam membantu pembangunan sektor agrikomoditi negara dan memahami bagaimana sektor agrikomoditi dapat mempengaruhi dan memberi impak kepada pembangunan sosioekonomi negara.

“Amalan konsep ‘think outside the box’ dalam pelaksanaan tugas semasa perlu dilakukan agar sektor agrikomoditi kekal relevan pada masa hadapan melalui penjanaan idea kreatif dan pandangan dari perspektif baharu,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×