PETALING JAYA: Minat terhadap ekuiti Malaysia dalam kalangan pelabur asing menjangkau minggu ketiga apabila mereka membeli bersih saham bernilai RM165.3 juta di Bursa Malaysia, kata MIDF Research.
Menurut Laporan Aliran Dana minggu berakhir 29 Disember 2023 firma penyelidikan itu, minggu lalu adalah minggu dagangan yang dipendekkan kerana cuti Krismas pada Isnin.
Katanya, pelabur asing membeli bersih RM85.2 juta pada Rabu dan RM187.9 juta (Khamis) tetapi menjual bersih sebanyak RM50.3 juta pada Selasa dan RM57.5 juta (Jumaat).
“Bagi minggu ini, tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah teknologi (RM213.1 juta), tenaga (RM45.0 juta) serta produk dan perkhidmatan perindustrian (RM37.0 juta).
“Tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (RM93.5 juta), penjagaan kesihatan (RM59.8 juta) dan pembinaan (RM27.8 juta),” katanya, semalam.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur institusi tempatan terus mencatat jualan bersih untuk minggu kedua berturut-turut pada RM189.6 juta, iaitu 77.7 peratus lebih tinggi daripada minggu sebelumnya.
Jelasnya, institusi tempatan membeli bersih RM21.0 juta pada Selasa dan RM58.9 juta (Jumaat), namun menjual bersih RM66.9 juta pada Rabu dan RM202.7 juta (Khamis).
“Peruncit tempatan membeli bersih RM4.3 juta minggu lepas, selepas jualan bersih dalam dua minggu sebelumnya.
“Mereka membeli bersih RM29.3 juta pada Selasa dan RM14.8 juta (Khamis), tetapi menjual bersih RM18.4 juta pada Rabu dan RM1.4 juta (Jumaat),” ujarnya.
Dari segi penyertaan, jelasnya, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian (ADTV) dalam kalangan institusi tempatan sebanyak 11.6 peratus, manakala peruncit tempatan dan pelabur asing menyaksikan penurunan masing-masing sebanyak 4.3 peratus dan 22.0 peratus. – UTUSAN










