PETALING JAYA: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) boleh mengesan kumpulan rakyat yang tiada slip gaji tetapi mempunyai pendapatan melalui perniagaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Politik Ekonomi Universiti Institut Teknologi Mara (UiTM) Sabah, Dr. Firdausi Suffian berkata, ini kerana orang ramai perlu mengemas kini 39 maklumat dalam sistem tersebut.
Justeru, menurut beliau, kerajaan dapat menggunakan maklumat yang perlu dikongsikan itu supaya mereka yang tidak mempunyai slip gaji dapat dibantu.
“Perincian maklumat diperlukan sama ada kerja atau pendapatan. Jadi, peniaga pun kena isytihar misalnya beritahu berapa dapat tiap-tiap bulan.
“Seperti yang diumumkan juga, PADU itu juga disepadukan dengan data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), jadi tidak ada individu yang tercicir,” katanya ketika dihubungi, semalam.
PADU bertujuan untuk menyediakan pangkalan data utama negara yang selamat, komprehensif dan hampir masa sebenar bagi membolehkan analisis data lebih tepat dihasilkan.
Mengulas lanjut, Dr. Firdausi berkata, data PADU yang diintegrasikan daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan juga boleh memudahkan maklumat yang dikemukakan rakyat bagi mengenal pasti kesahihannya.
“Dengan integrasi data, jadi boleh semak silang kesemua data-data yang ada antara satu sama lain.
“Jadi kita perlu (kemukakan data) yang telus sama ada layak atau tidak. Sebelum ini sering pertikai kerajaan tidak telus, maka sekarang kita kena telus,” katanya.- UTUSAN










