PETALING JAYA: Di era digital ini, penubuhan Bank Data Pelancongan sangat digalakkan kerana ia akan membantu pertumbuhan dan memantapkan ekonomi negara.
Presiden Majlis Pelancongan Malaysia (MTC), Uzaidi Udanis berkata, data-data tersebut penting untuk industri pelancongan membantu usahawan-usahawan dalam sektor berkenaan.
“Dengan adanya data-data itu, pihak industri boleh tahu minat pelancong dan mengesan tempat-tempat yang mereka pernah kunjungi sebelum ini.
“la akan mengurangkan kos dan memudahkan aktiviti pemasaran yang perlu dilakukan jika kita sudah tahu minat seseorang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, melalui data-data itu juga, MTC boleh menghantar pelancong-pelancong, terutamanya dari luar negara kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi membantu menyokong perusahaan mereka sekali gus dapat menerima manfaat daripada industri pelancongan sehingga boleh membuat jualan ke luar negara.
Uzaidi menjelaskan, setiap negara memerlukan data pelancongan jika mahu menguasai industri.
Katanya, negara akan ketinggalan jika tidak mengambil kesempatan atas teknologi dan internet yang ada pada zaman ini.
Namun begitu, Uzaidi memberitahu, memiliki data-data itu memang ada keburukannya tersendiri seperti ia boleh disalahgunakan oleh orang tidak bertanggungjawab.
“Cara untuk mengatasi perkara itu ialah dengan menambah baik pelindungan data, kerana kebaikan mempunyainya lebih banyak daripada keburukan.
“Dengan Bank Data Pelancongan, ia mampu memaksimakan produktiviti 640,000 syarikat yang ada dalam industri ini sekarang,” katanya.
Kelmarin, AmBank Research berkata, sudah tiba masanya Malaysia menubuhkan Bank Data Pelancongan yang dapat membantu pemegang-pemegang taruh yang terlibat membuat keputusan berkenaan sektor tersebut dengan lebih tepat dan berpandukan data.
Institusi penyelidikan itu dalam nota kajiannya berkata, pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi dan kesihatan dunia mengajar Malaysia bahawa kolaborasi pelbagai pemegang taruh diperlukan dalam industri pelancongan.
Jelasnya, bank data tersebut akan mengumpulkan maklumat komprehensif tentang pelancongan dan perniagaan berkaitan di peringkat industri, kerajaan tempatan, negeri dan negara.
Pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Disember 2019 menyebabkan banyak sektor ekonomi terjejas dengan sektor pelancongan membabitkan industri penerbangan dan perhotelan paling teruk terjejas.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Disember tahun lalu dilaporkan berkata, jumlah anggaran kerugian industri pelancongan negara pada 2020 adalah melebihi RM100 bilion. – UTUSAN










