HARTANAH komersial adalah antara sektor yang terjejas semasa pandemik Covid-19 dahulu dan kini dilihat mula rancak semula terutamanya dengan pelancaran pusat beli-belah baharu termasuk The Exchange TRX, baru-baru ini.
Walaupun ekonomi global dijangka terus mencabar pada 2024 berikutan ketegangan geopolitik yang berlaku di seluruh dunia, kemerosotan ringgit dan kadar faedah yang tinggi, pihak industri kekal positif dengan pasaran hartanah komersial dalam negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPK Malaysia) Tan Sri Teo Chiang Kok berkata, prospek untuk hartanah komersial adalah positif didorong oleh pemulihan ekonomi.
Katanya, perkara tersebut turut dipacu terutamanya dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Tambahan pula, dengan penurunan ringgit dan kos hartanah serta penyewaan dan kos sara hidup yang kompetitif, kami jangkakan peningkatan minat terhadap hartanah komersial.
“Berdasarkan asas per kapita, masih terdapat ruang untuk pertumbuhan dalam pusat beli-belah walaupun terdapat lebihan di beberapa lokasi terutamanya di pusat bandar.
“Pusat beli-belah telah berubah daripada sekadar tempat membeli-belah menjadi pusat tarikan untuk makanan dan minuman (F&B), hiburan, riadah dan sukan. Pusat beli-belah menjadi tempat berkumpul dan pertemuan untuk rakan dan keluarga,” katanya di sini baru-baru ini.
Chiang Kok berkata, terdapat permintaan yang semakin meningkat untuk premis baharu dengan Pensijilan Hijau atau Green Certified dan cekap tenaga untuk memenuhi keperluan banyak syarikat yang mementingkan alam sekitar dan global.
Jelasnya, syarikat akan memilih untuk menempatkan pejabat mereka di bangunan tersebut bagi memenuhi objektif Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mereka.
“Fenomena ini juga telah mendorong banyak bangunan sedia ada untuk dinaik taraf bagi melayakkan diri mendapat Pensijilan Hijau bagi memenuhi objektif ESG,” ujarnya.
Menurut Laporan Pasaran Hartanah Separuh Pertama 2023 Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) prestasi kompleks perniagaan menunjukkan sedikit peningkatan bagi tempoh itu, dengan kadar penghunian negara meningkat kepada 76.6 peratus berbanding separuh pertama 2022 (75.7 peratus) dan separuh kedua 2022 (75.4 peratus).
NAPIC berkata, terdapat 17.44 juta meter persegi ruang niaga sedia ada direkodkan, meningkat daripada 17.36 juta meter persegi seperti dicatatkan pada separuh pertama 2022.
Kuala Lumpur dan Selangor masing-masing mencatatkan kadar penghunian 82.8 peratus dan 79.2 peratus, sementara Johor dan Pulau Pinang masing-masing memperoleh penghunian purata 70.0 peratus dan 72.9 peratus .
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan M K Land Holdings Berhad, Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, pihaknya menjangkakan sektor hartanah untuk kediaman dan komersial akan terus meningkat pada 2024.
Bagaimanapun, beliau berkata, kadar peningkatan tidak setinggi sejurus selepas tempoh Covid-19 atas faktor peningkatan kos sara hidup dan peningkatan Kadar Dasar Semalam (OPR).
“Buat masa ini, M K Land tidak terlibat dalam pembinaan atau operasi pusat beli-belah tetapi dijangka kadar penghunian (occupancy rate) untuk pusat beli-belah tidak meningkat secara mendadak atas faktor sektor industri peruncitan yang mendatar pada masa ini,” ujarnya. – UTUSAN









