SEREMBAN: Air tebu rebus yang dijual oleh Lai Chee Leong, 67, di Jalan Dr. Krishnan di bandar ini tetap menjadi pilihan orang ramai walaupun selepas 50 tahun minuman tersebut dijual.
Dengan harga hanya RM1 bagi setiap bungkus, Chee Leong sememangnya tidak menang tangan untuk menyiapkan bungkusan air tebu rebus yang dipesan pelanggan terutama ketika cuaca panas waktu tengah hari.
Chee Leong berkata, dia sudah lama berniaga air tebu rebus itu di kawasan berkenaan diwarisi daripada ibunya, Eg Ang Chan, malah masih mengekalkan harga RM1 bagi setiap bungkus.
“Rasanya tetap sama, kurang manis berbanding air tebu yang dijual peniaga lain, dan air tebu ini disajikan secara panas dan sejuk.
“Setiap hari kecuali hari Ahad, saya berniaga dengan membawa sekurang-kurangnya 50 liter air tebu yang sudah direbus,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Jelasnya, untuk menghasilkan air tebu tersebut, tebu yang sudah matang akan dipotong sebelum direbus selama lima jam dengan menggunakan bara api.
“Setiap kali berniaga, saya akan menyediakan sekurang-kurangnya satu tong besar untuk menyimpan air rebusan tebu untuk dibawa bagi jualan.
“Walaupun ramai beranggapan harga yang dijual tidak masuk akal ketika kos sara hidup tinggi ketika ini, namun . Dalam sehari saya boleh meraih jualan sehingga RM50 dan jika hari panas terik jualan boleh mencecah RM100,” katanya yang masih belum bekeluarga.
Sementara itu, seorang pelanggan yang hanya mahu dikenali sebagai Jasmin berkata, air tebu rebus yang dijual Chee Leong itu masih enak walaupun kurang manis dan tetap sesuai diminum ketika waktu panas terik.
“Setiap kali saya datang ke sini, saya akan membeli sekurang-kurangnya tiga bungkus air tebu rebus ini,” katanya. – UTUSAN







