PADU dibuka Selasa ini, tiada tindakan jika tidak kemas kini - Utusan Malaysia

PADU dibuka Selasa ini, tiada tindakan jika tidak kemas kini

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak akan mengenakan apa-apa tindakan kepada rakyat yang tidak mahu mengemas kini data masing-masing menerusi Pangkalan Da­ta Utama (PADU) yang dibuka mulai Selasa ini.

Bagaimanapun, Menteri Eko­­nomi, Rafizi Ramli berkata, ji­ka kumpulan tersebut tidak melakukan kemas kini, mereka mungkin tercicir daripada me­nikmati program subsidi ber­sasar yang dilaksanakan ke­rajaan kelak.

Menurut beliau, proses kemas kini data menerusi PADU mula dibuka 2 Januari ini hingga 31 Mac depan.

“Jika tak update (kemas kini) tiada masalah. Tapi kalau anda tak dapat (subsidi) jangan marah lah.

“Tak nak update (kemas kini) boleh tetapi kerajaan akan menggunakan maklumat sedia ada dalam semua pangkalan data milik kerajaan,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Rafizi berkata, risiko keciciran menikmati subsudi atau bantuan kerajaan boleh berlaku jika individu berkenaan tidak mengemas kini data dalam PADU kerana kerajaan hanya akan menggunakan data sedia ada bagi menentukan kelayakan bagi setiap program bantuan diperkenalkan selepas ini.

TERAWAL

Kata beliau, bagi mengalakkan orang ramai mengemas kini PADU, sebanyak 3,000 kad Touch ‘n Go (TnG) versi teknologi Komunikasi Medan Dekat (NFC) percuma ditawarkan bagi pendaftar terawal aplikasi itu di www.padu.gov.my.

Sementara itu, Rafizi mengesahkan bahawa data di bawah PADU tidak diintegrasikan de­ngan mana-mana sistem maklumat daripada institusi perbankan.

Katanya, sistem bank termaktub di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang tidak membenarkan sebarang perkongsian berkaitan data pelanggan.

“Kalau berkaitan dengan bank, tak ada. Sebab bank ada Akta Perkhidmatan Kewangan yang tidak membenarkan perkongsian data itu,” katanya.

Oleh itu, beliau menyeru semua rakyat Malaysia melaku kemas kini bagi memasti mereka tidak tercicir menerima bantuan atau subsidi kerajaan.

DISEMAK

Jelas beliau, terdapat 39 maklumat yang perlu disemak dan dikemas kini dalam PADU antaranya jumlah pendapatan, bilangan isi rumah, pekerjaan, bantuan yang diterima dan komitmen tanggungan.

Menurut Rafizi, sebanyak 290 pangkalan data daripada pelbagai agensi adakan diselaraskan dalam PADU dan mengenalpasti sama ada maklumat yang diisi adalah tepat atau sebaliknya.

“Semua maklumat sebenarnya sudah ada pada kerajaan. Tapi kita hendak pastikan contohnya akan ada beberapa kes unik seperti alamat yang lain. Ia perlu kemaskini.

“Kedua oleh kerana data tidak ada dalam sistem kerajaan bagi sektor tidak formal jadi tak ada maklumat mengenai gaji. Kita ada lebih kurang 12 juta pekerja iaitu sebanyak 9 juta dalam sektor formal yang ada gaji dan KWSP tapi tiga juta lagi tak ada maklumat ini.

“Ada juga yang tidak padan, contoh dari data kerajaan dia ada empat kereta mewah tetapi dia isytiharkan pendapatan RM500. Kita tahu terus ada sesuatu yang tidak kena. Ini algoritma ini akan tahu,” kata Rafizi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melancarkan PADU pada Selasa ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×