KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka lebih menyerlah dalam tempoh tiga tahun akan datang setelah Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak lagi memegang jawatan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, ini kerana pelantikan semula Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu lebih kepada memberi kestabilan parti dan gabungan Pakatan Harapan (PH) berbanding melantik orang baharu memegang jawatan tertinggi berkenaan.
Katanya, pelantikan itu menunjukkan tiada perbezaan kepada Amanah meskipun barisan kepemimpinannya ditukar, parti itu dianggap masih terkebelakang berbanding parti lain dalam PH.
Azmi juga melihat ini merupakan penggal terakhir Mat Sabu sebagai Presiden kerana beliau bukan memperoleh undi terbanyak dalam perwakilan dengan pelantikan itu hanya untuk stabilkan Amanah dalam tiga tahun akan datang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Kepemimpinan timbalan presiden dengan tiga naib presiden lain akan membawa Amanah ke hadapan dan lebih menyerlah lagi kerana dalam PH, Amanah merupakan parti terkebelakang berbanding parti yang berteraskan perjuangan Melayu Islam.
“Malah Amanah turut ke belakang berbanding UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Sebab itu Mohamad dikekalkan walaupun dapat undi kelapan dan bukan paling banyak, supaya tidak menggoncangkan lagi parti itu.
“Jadi saya melihat dalam tiga ke empat tahun akan datang, timbalan presiden akan memainkan peranan penting bagi memberi keyakinan kepada penyokong parti itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Minggu lalu, Mohamad kekal menerajui Amanah selepas dipilih sebagai presiden dalam pemilihan parti itu pada Ahad lepas.
Pemilihan Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan diputuskan pada mesyuarat khas Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKN) Amanah usai proses pengundian berakhir.
Jawatan Timbalan Presiden Amanah disandang oleh Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.
Mujahid menggantikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.
Seorang lagi penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, pelantikan Mat Sabu hanya sekadar mengiktiraf jasanya sebelum ini, dalam masa yang sama Mujahid berperanan untuk membawa perubahan sebaik sahaja tampuk kepemimpinan diserahkan kepadanya.
“Pelantikan Mat Sabu disifatkan sebagai kompromi di mana keputusan yang dibuat adalah secara konsensus, kekalkan Mat Sabu bagi mengingati jasa beliau dan meletakkan Mujahid sebagai pemimpin akan datang. Jadi Mujahid boleh fokus kepada reformasi dalam Amanah.
“Tiga naib presiden yang merupakan orang lama dalam Pas tidak diletakkan sebagai timbalan presiden, dilihat sebagai situasi menang-menang kerana memberi peluang kepada Mujahid untuk memainkan peranan penting khususnya dalam segmen menarik minat orang Melayu dan anak muda.
“Ia bertepatan dengan sikap Mujahid untuk membawa gerakan tajdid iaitu pembaharuan dalam parti Amanah itu sendiri,” ujarnya. – UTUSAN











