PETALING JAYA: Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan Komune Care memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menawarkan Sijil Profesional dalam Penjagaan Warga Emas bagi memberikan penerima faedah kemahiran mengendali dan menguruskan golongan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata, kerjasama itu menjadi sebahagian sistem eko rakan kongsi yang bergabung membina bakat untuk negara dalam pelbagai bidang.
Ibrahim berkata, Kumpulan sentiasa merancang dan menawarkan program pembiayaan yang baik dengan penekanan melengkapkan bakat dengan set kemahiran dan membantu penerima faedah maju dalam kerjaya mereka.
“Yayasan Peneraju mempunyai tanggungjawab meningkatkan kualiti, kuantiti dan kaitan bakat Bumiputera selaras usaha membangunkan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, Kumpulan akan membiayai 50 bakat bumiputera berusia antara 30 hingga 45 tahun menjalani kursus sijil profesional selama tujuh bulan dalam penjagaan warga emas dan ditawarkan penempatan pekerjaan setelah tamat nanti.
Menurut Yayasan Peneraju berkata, kursus yang diselia oleh Akademi UOA merangkumi aspek fizikal, psikologi, pemakanan dan mental serta kesihatan manusia, dan peralatan yang diperlukan untuk menangani penyakit dan tingkah laku di kalangan warga emas.
Sementara itu, Pengurus Besar Komune Care, Fong Muntoh berkata, kerjasama antara Yayasan Peneraju, Akademi UOA, dan Komune Care Center mencerminkan sinergi penting dalam menangani permintaan mendesak untuk penjaga terlatih.
Jelas Fong, inisiatif itu sejajar dengan visi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, yang menekankan pentingnya mengumpulkan sumber dan kepakaran untuk merapatkan jurang yang signifikan dalam tenaga kerja pengasuh. – UTUSAN









