Trafik penumpang sektor penerbangan catat pertumbuhan pesat

Trafik penumpang sektor penerbangan Malaysia catat pertumbuhan pesat

ADUAN berkaitan penerbangan turun pada separuh pertama 2024. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor penerbangan Malaysia mencatatkan pertumbuhan pesat dalam trafik penumpang pasca pandemik Covid-19 apabila mencapai 69.9 juta penumpang dalam tempoh 10 bulan pertama 2023, menurut laporan Suruhanjaya Penerba­ngan Malaysia (MAVCOM).

Pertumbuhan itu mendorong MAVCOM mengkaji semula ramalan awal untuk 2023 dengan jangkaan terbaharu antara 84.5 juta dan 86.5 juta penumpang.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, pertumbuhan trafik penumpang menunjukkan pemulihan berterusan sektor penerbangan di Malaysia dan menjangkakan pemulihan lebih ketara bagi 2024.

“Suruhanjaya menjangkakan bilangan penumpang antara 93.9 juta hingga 107.1 juta pada 2024, menunjukkan pemulihan hampir mencecah 98 peratus daripada tahap pra-pandemik Covid-19 yang dilihat pada 2019,” katanya dalam kenya­taan.

Saripuddin berkata, lonjakan itu dijangka dipacu oleh peningkatan perjalanan domestik dan antarabangsa, terutamanya ke China dan ASEAN.

“Bagaimanapun, terdapat ca­baran yang mungkin dihadapi seperti peningkatan kos bahan api pesawat, penyusutan nilai ringgit, kemungkinan penundaan penghantaran pesawat dan isu tenaga kerja,” katanya.

Mengenai kargo udara, beliau berkata, Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 15.3 peratus tahun ke tahun, berjumlah 4.7 bilion tan kargo per kilometer (FTK) pada suku ketiga 2023.

Katanya, MAVCOM telah menyelaraskan ramalan kargo udara 2023 ke bawah dengan jangkaan penurunan antara 14.1 peratus hingga 13.5 peratus, bersamaan 18.7 bilion hingga 18.8 bilion FTK.

“Walaupun terdapat penurunan, anjakan positif diramalkan bagi 2024, dengan pertumbuhan kargo dijangkakan dari 6.0 peratus hingga 6.6 peratus dan berpotensi mencecah 19.8 bilion hingga 20.0 bilion FTK.

“Jangkaan peningkatan ini dikaitkan dengan kesan asas yang rendah (low base effect) pada 2023, kemungkinan peningkatan dalam kitaran teknologi global, pemulihan berterusan di China dan penstabilan ekonomi yang lebih meluas,” jelasnya.

Dalam pada itu, Saripuddin memberitahu, Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai negara kelima paling berhubung di ASEAN, dengan skor kesaling­hubungan 79.7 pada suku pertama hingga suku ketiga 2023.

Jelas beliau, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Terminal 1 mengekalkan status sebagai lapangan terbang ketiga paling berhubung di rantau ini dengan skor kesalinghubungan udara langsung sebanyak 59.9 di belakang Singapura dan Thailand.

Katanya, sepanjang sembilan bulan pertama 2023, MAVCOM telah memberikan 173 Hak Trafik Udara (ATR) tambahan, dengan 44 daripadanya untuk laluan domestik dan 129 lagi bagi destinasi antarabangsa.

Malindo Air Sdn. Bhd. (Batik Air) penerima ATR antarabangsa tertinggi sebanyak 35, diikuti Air Asia Berhad (30) dan Malaysia Airlines Berhad (18). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×