Meraikan ‘indiemen’ - Utusan Malaysia

Meraikan ‘indiemen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU sebelum ini saya ada menulis tentang gadis-gadis indie, apa salahnya kalau tulis tentang para lelaki pula, kan? Sebahagian artikel ini untuk menolak mitos bahawa vokalis indie ini kebanyakannya vokal ke laut. Sering sangat kita dengar, macam lekeh benar penyanyi-penyanyi indie ini kalau nak dibanding dengan penyanyi arus perdana. Maka biar saya perkenalkan kepada anda, para ‘indiemen’ yang bukan sahaja punya vokal berkualiti malah ada aura pentas yang luar biasa.

Myo (Jemson/Oh Chentaku)
Myo antara vokalis yang boleh capai not tinggi dalam nyanyian. Ketika dalam Versus dahulu, lagu tugasan pertama Oh Chentaku ialah Bunga Angkasa oleh Terra Rossa. Bayangkan betapa mencabarnya vokal lagu itu. Dan Myo kini rockstar lima bintang bersama Jemson. Gaya dan auranya bukan biasa-biasa.

Mirul (Servants)
Apa yang istimewa tentang Mirul ialah keserasian vokalnya dengan tema emo yang menjadi identiti Servants. Dalam beberapa lagu, Mirul akan menggunakan tiga gaya vokal: nyanyian bersih, jeritan dan mengungkap sajak. Ketiga-tiga gaya ini boleh disampaikan dengan baik, termasuk jeritannya yang menggoncang.

Syafie (Ramayan)
Vokal Syafie bersih dan biasa-biasa. Tidak ada julat luar biasa atau tona satu dalam seribu. Namun, setiap kali melihat persembahan Ramayan, Syafie akan menghibur. Ada magis pada penyampaian dan penghayatannya yang membuatkan dia istimewa. Sudahlah buat lagu pun sedap.

Saiful, Max Brandon dan Cellusz (Countrywolves)
Getaran Cinta punya impak yang besar, antara rilisan terbaik 2021 setakat ini. Yang menarik tentang trio ini, ketiga-tiga mereka boleh menyanyi dengan baik. Paduan suara ketiga-tiga mereka mengembalikan kita kepada zaman kegemilangan kumpulan nasyid suatu masa dahulu. Trio Sabah ini tuan-tuan, sangat perlu diberi perhatian.

Suffian (Sang Rawi)
Magis utama Sang Rawi adalah pada komposisi lagu mereka. Bukanlah mudah untuk meletakkan label kugiran sebagai Eksperimental Nusantara namun mereka berjaya berlaku adil kepada label itu. Vokal Suffian melengkapkan segala bunyian daripada instrumen lain dalam lagu-lagu Sang Rawi. Ada maskuliniti secukupnya dan lenggok yang tulen.

Eidi (Teman Lelaki)
Vokal Eidi memainkan peranan besar dalam lagu Teman Lelaki. Lemak dan maskulin, menjadikan Dengan Nama Tuhan sempurna. Saya masih menantikan rilisan seterusnya daripada Teman Lelaki bagi mengesahkan teori bahawa vokal Eidi dalam apa lagu pun mampu menderai iman wanita.

Adam (Transitions)
Vokalis moden yang kita semua perlukan. Saya akui sedikit serong kepada kugiran yang ada ciri tradisional dan kenusantaraan namun jika ada yang minta saya senaraikan vokalis yang baik, nama Adam sukar untuk saya tinggalkan. Vokal Adam cukup antarabangsa apabila menyanyikan lagu Inggeris tetapi tidak pula canggung dalam Konversasi Sulit.

Mie (Kapow)
Saya pernah kata, Mie antara vokalis yang paling underrated dalam lapangan independen. Mungkin kerana sikapnya yang kelakar, orang tidak ambil berat. Vokal Mie sangat cocok dengan bunyian rock n roll. Dia ada attitude, growl-nya sering kali tepat dan aksinya menghiburkan. Bayangkan, dalam lagu Mengarut yang ada Fami dari Modread dan Iqbal dari Iqbal M., bahagian Mie juga yang paling mantap.

Ariff (Oceanlights)
Apa yang tidak cukup pada Ariff? Vokalnya bersih, tampan pun ya, apa lagi Malaysia mahu? Saya selalu runsing memikirkan Oceanlights yang tidak pernah mendapat perhatian yang sewajarnya daripada industri muzik tempatan. Ariff membuktikan vokalnya boleh dijual ke mana-mana sahaja melalui persembahannya dalam Teratas. Apabila Oceanlights tampil pula dengan Gurindam dan Landasan, Ariff tunjuk pada semua orang dia juga boleh jadi peneraju yang menghiburkan.

Kimal (Margasatwa)
Saya jujur sahaja. Kimal vokalis nombor satu saya dalam senarai ini. Sukar nak cari kelemahan pada vokalnya. Dia berjaya menyatukan lenggok Melayu dengan bunyi rock. Julat vokalnya besar. Dia ada sikap rockers sejati dan gayanya langka baik dari segi pilihan baju, kepala tali pinggang mahupun potongan kumis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×