MASIH mengekalkan kejelitaannya di usia 50 tahun, ternyata figura ini kekal aura tersendiri. Malah menyebut namanya sahaja sudah terbayang rangkaian lagu nyanyiannya yang malar segar sehingga kini.
Terkenal dengan sikap eksklusif, nama Fauziah Latiff terus meniti di bibir peminat. Walaupun tidak seaktif dahulu dalam dunia seni namun namanya tidak pernah dilupakan.
Berkongsi serba sedikit mengenai kehidupannya kini, kata Fauziah atau lebih mesra disapa Jee, pesanan arwah ayahnya adalah penentu perjalanan kariernya sehingga kini.
“Almarhum arwah ayah saya, pernah berpesan, jika ingin teruskan perjuangan ini, melangkahlah dengan sejujurnya dan harus menghargainya.
“Kerana tiada istilah berpatah balik, kecuali jika saya sudah penat dengan semua ini baru boleh berehat. Bagaimanapun saya masih dan akan terus di sini, Insya-Allah,”katanya kepada Pancaindera baru-baru ini.
Berkongsi kembali perjalanan kariernya sebagai penghibur, apa yang cukup dititikberatkan anak kelahiran Teluk Intan, Perak ini adalah sikap hormat. Jelasnya, berada dalam bidang ini dia tidak pernah melihat populariti sebagai fokus memandangkan pilihan utamanya adalah mengangkat nilai seni itu sendiri.
“Saya juga masih mengekalkan apa yang dibawa oleh penyanyi terdahulu. Paling penting sikap hormat menghormati. Ini bukan `dunia tipu tipu’ bagi mereka yang menghargai bakat, usaha dan perjuangan dalam bidang seni. Bidang seni juga bukan untuk main-main.
“Banyak cabaran dan dugaan yang mengajar saya erti kehidupan. Kita perlu lihat daripada segi positif dan negatif. Sejujurnya seni adalah sesuatu yang halus dan saya sangat menghargainya,”katanya yang aktif sebagai anak seni bermula dari 1986 lagi.
Cukup lembut berbicara langsung tidak pernah meninggi diri, Jee sentiasa meletakkan sikap positif sebagai elemen utama dirinya.
Diminta berkongsi pendapat mengenai ada yang hanya menggunakan dunia seni sebagai batu loncatan untuk mendapatkan kehidupan yang lebih indah, bagi Jee sendiri peminat kini juga lebih bijak untuk menilai bakat setiap anak seni.
“Terpulang kepada setiap individu, masing-masing juga boleh berfikir mengenai baik dan buruk setiap keputusan. Saya tidak meletakkan kesalahan pada mana-mana pihak mungkin itu cara untuk mencari rezeki. Kita doakan yang terbaik untuk semua.
“Cuma kalau kata ada impak kepada industri kita, rasanya peminat kini lebih bijak menilai setiap bakat yang ada. Masyarakat kini lebih tahu mana satu anak seni dan mereka yang mahu menggunakan industri ini sebagai batu loncatan sahaja,” tambah penyanyi yang cukup popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu ini.
Bercakap mengenai laman sosial, Jee tidak menolak kepentingan teknologi ini dalam berkongsi aktiviti seninya. Namun terkenal dengan sikap berhati-hati, ada sempadan yang diletakkan dalam memastikan apa dimuat naik sentiasa memberi kesan baik bukan sahaja buat karier dan peminatnya sendiri.
“Perlu ada etika buat artis itu sendiri dan peminat. Kena faham tujuan berada dalam bidang ini selain belajar dan menghargai keperluan ini dengan baik.
“Kalau boleh biarlah sesuatu yang baik untuk generasi muda,” jelasnya lagi.

Rahsia cantik
Tidak lokek berkongsi rahsia kejelitaannya, jangan tidak tahu sepanjang melakukan temu ramah ini mata penulis juga tidak terlepas daripada melihat sendiri wajahnya yang masih ayu. Menjelaskan takut melakukan perawatan moden untuk mengekalkan kecantikan, kata Jee dia lebih rela melihat perubahan wajahnya secara semula jadi sahaja.
“Buat masa ini saya tidak melakukan apa-apa di wajah, biarlah ia begini sahaja. Sebenarnya saya juga takut, dan lebih selesa untuk grow old gracefully, Insya-Allah.
“Bercakap soal penjagaan muka saya lebih suka kulit wajah yang bersih, tidak suka solekan terlalu lama di wajah dan Alhamdulillah kulit saya juga tidak mempunyai masalah. Ada kelebihan di situ. Namun penjagaan dari awal juga sangat penting,”jelasnya lembut.
Tidak pernah berhenti belajar, bagi wanita ini usia bukan alasan untuk dia mendabik dada. Tambahnya, sentiasa memenuhkan dirinya dengan ilmu adalah cara terbaik untuk mencari keseimbangan dalam diri.
“Pengalaman adalah penting dalam mengajar erti kehidupan, bagaimanapun sehingga kini juga saya masih belajar.
“Mencari keseimbangan dalam kehidupan pula adalah melalui jiwa,”katanya ringkas.

Jaga diri sendiri
Jelas terpancar di wajahnya tiada sekelumit rasa menyesal dalam apa juga yang sudah dilaluinya. Malah masih selesa menjalani kehidupan tanpa kehadiran seorang teman kini kongsinya dia tidak pernah menolak jodoh. Bagaimanapun jauh dalam sudut hatinya dia lebih senang menjalani kehidupan yang sedang dilalui kini.
“Apa yang boleh dikongsi dengan peminat, saya masih meneruskan kehidupan seperti biasa. Soal menutup pintu hati tidak berani nak cakap, namun pada waktu ini biarlah saya sendiri.
“Diri sendiri pun tak terjaga, baik beri tumpuan kepada diri sendiri dahulu. Yang lain saya serahkan kepada Allah sahaja,”katanya.
Bercakap soal kebahagiaan, prinsip Jee juga mudah. Sentiasa melihat kegembiraan orang di sekelilingnya sebagai hadiah yang cukup bermakna, sehingga kini tiada tempat untuk kesunyian bertandang dalam hatinya.
“Jika kita dapat buat orang lain gembira dan bahagia, itulah kebahagiaan buat saya. Jika ada yang bertanya mengenai sunyi atau tidak kehidupan kini, mungkin sunyi kalau saya hidup di bawah tempurung,”akhirinya.










