Pilihan raya PBT gugat keharmonian

Pilihan raya PBT gugat keharmonian kaum

pilihan raya
ASRUL AIMRAN ABD JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Cadangan pelaksa­naan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) disifatkan tidak rasional dan bakal mewujudkan penguasaan kaum tertentu di kawasan bandar dalam sesebuah kerajaan tempatan khususnya di ibu negara.

Ketua Penerangan Pas ne­geri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, langkah tersebut juga dibimbangi akan mewujudkan ketidakadilan kepada kaum-kaum lain yang akhirnya akan menggugat keharmonian antara kaum di negara ini.

Menurut beliau, bukan sekadar itu, idea dan cada­ngan berkenaan juga hanya bakal menambahkan lagi parah dalam politik negara yang sekali gus akan mengheret serta merugikan rakyat serta menjejaskan kelancaran pentadbiran kerajaan.

“Pas Perlis memandang serius cadangan yang dibangkitkan oleh seorang pemimpin DAP agar diadakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur dan menolak sebarang usaha ber­kenaan,” katanya.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP Kuala Lumpur, Tan Kok Wai mencadang­kan supaya kerajaan memulakan pilihan raya PBT bagi menyemarakkan demokrasi.

Kata Asrul Aimran, atas alasan urus tadbir berkesan yang menjadi modal DAP sebenar­nya hanyalah helah mereka untuk mengaburi mata rakyat daripada melihat agenda sebenar iaitu untuk merungkai satu demi satu tonggak ketua­nan Melayu-Islam di negara ini.

“Pas Perlis menyeru seluruh rakyat membantah cadangan ini yang tampak indah pada zahirnya tetapi bakal mengundang lebih banyak keburukan yang merugikan rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×