Perkhidmatan bayar zakat simpanan secara automatik

Bank Rakyat perkenal perkhidmatan bayar zakat simpanan secara automatik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Bank Rakyat memperkenalkan perkhidmatan pembayaran zakat simpanan secara automatik menerusi Akaun Simpanan-i dan Akaun Semasa-i sebagai kemudahan kepada pelanggan untuk menunaikan kewajipan membayar zakat simpanan dengan mudah dan lancar.

Menerusi kemudahan itu, Bank Rakyat mengguna pakai konsep syariah iaitu kontrak Wakalah yang mana pelanggan sebagai ‘muwakkil’ melantik Bank Rakyat sebagai wakil untuk menguruskan pembayaran zakat kepada agensi mengurus zakat (AMZ) seperti Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Bank Rakyat dalam kenyataan berkata, perkhidmatan baharu itu memperlihatkan komitmen berterusan Bank dalam memanfaatkan rangkaian perkhidmatan dan perbankan digitalnya dengan menyediakan penyelesaian inovatif kepada pasaran untuk kemudahan dan pengalaman terbaik pelanggan.

Ia termasuk membantu meningkatkan kemakmuran ekosistem kewangan sosial dan Islam secara keseluruhannya.

Bank Rakyat memaklumkan, inisiatif yang juga bertepatan dengan nilai daya cipta Malaysia Madani, bukan sahaja dapat menggalakkan pelanggan memenuhi tanggungjawab mereka malah, memastikan kelancaran pelanggan untuk membayar zakat simpanan tahunan mereka pada waktunya.

“Jumlah zakat simpanan akan dihitung secara automatik dan ditolak melalui sistem Bank Rakyat apabila memenuhi syarat haul dan nisab menerusi akaun pelanggan tanpa sebarang caj tambahan.

“Pelanggan juga akan menerima resit operator zakat dan pemberitahuan daripada Bank yang mengesahkan pembayaran berjaya dilaksanakan,” katanya dalam  kenyataan itu.

Pelanggan yang berminat untuk mendapatkan perkhidmatan pembayaran zakat simpanan secara automatik ini boleh membuat permohonan di mana-mana cawangan Bank Rakyat berhampiran di seluruh negara.

Jelasnya, perkhidmatan ini tersedia untuk semua akaun simpanan dan semasa individu seperti Akaun Simpanan-i, Akaun Simpanan-i Ibadah Umrah, Akaun Simpanan-i Tabung Qurban dan Akaun Semasa-i Elektronik (eCAi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×