YANGON: Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar mendakwa junta tentera negara ini sudah ‘membunuh’ sekurang-kurangnya 70 penunjuk perasaan dalam beberapa siri demonstrasi yang berlaku sejak Februari lalu.
Thomas Andrews berkata, Myanmar ketika ini dikawal oleh ‘rejim pembunuh dan haram’.
Katanya, lebih separuh daripada penunjuk perasaan yang maut adah berusia bawah 25 tahun, selain lebih 2,000 ditahan sesuka hati ketika situasi tegang di negara ini terus memuncak.
“Terdapat bukti iaitu video yang menunjukkan pasukan keselamatan sengaja memukul penunjuk perasaan, petugas perubatan dan orang yang melihat demonstrasi dilakukan.
“Ada juga video menunjukkan anggota tentera dan polis memasuki kawasan kejiranan dan memusnahkan harta benda penduduk, memecah masuk premis perniagaan, melepaskan temabakan rambang dan menahan orang sesuka hati,” katanya
Beberapa jam selepas Andrews mengeluarkan kenyataan itu, junta tentera Myanmar sekeras-kerasnya membantah dan menegaskan apa yang dilakukan adalah mengikut undang-udang demo menjaga kestabilan dan keselamatan negara.
Setiausaha Kementerian Luar Myanmar, Chan SAye berkata, video tersebut sengaja disunting untuk menunjukkan ‘sisi jahat’ pasukan keselamatan dan keadaan tegang. – AGENSI










