Bursa Malaysia dibuka rendah

Bursa Malaysia dibuka rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini, mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang lemah secara mendadak, apabila pelabur mengambil untung berikutan prestasi kukuh pada Disember setakat ini.

Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.39 mata kepada 1,462.17 daripada 1,464.56 penutup semalam. FBM KLCI dibuka 1.39 mata lebih rendah kepada 1,463.17, menurut laporan Bernama.

Menurut laporan itu, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 165 berbanding 90, manakala 236 kaunter tidak berubah; 1,824 tidak diniagakan dan 21 lagi digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 193.03 juta unit bernilai RM48.25 juta, jelasnya.

Ketua Penyelidikan Rakuten Trade, Kenny Yee berkata, peniaga `mengunci’ keuntungan kerana kenaikan baru-baru ini dalam ekuiti AS mungkin berlebihan, yang mungkin menjelaskan sebab Indeks Purata Perindustrian Dow Jones kehilangan 476 mata semalaman, manakala Nasdaq merosot sebanyak 225 mata dengan pelonggaran hasil 10 tahun AS kepada 3.853 peratus.

Bagaimanapun, kata beliau, Indeks Hang Seng di Hong Kong, melonjak 109 mata, disokong oleh keuntungan Alibaba selepas syarikat itu melantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu untuk mengetuai cabang e-dagang domestiknya iaitu Taobao dan Tmall.

Untuk pasaran tempatan, beliau berkata, jualan lewat semalam menyaksikan FBM KLCI sekali lagi susut di bawah paras 1,465 setelah berada di aliran sekitar paras 1,470 untuk kebanyakan sesi.

“Dengan enam hari dagangan lagi sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada 2023, kami kekal yakin bahawa indeks penanda aras akan meningkat di tengah-tengah pelonggaran hasil 10 tahun Perbendaharaan AS kepada paras terendah enam bulan.

“kami menjangkakan indeks akan mengalami sedikit kecenderungan menaik dan berlegar dalam julat 1,460-1,470 hari ini,” katanya.

Sementara itu, dalam kalangan kaunter wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM8.96, manakala Public Bank turun dua sen kepada RM4.30 dan CIMB juga turun dua sen kepada RM5.88.

Tenaga Nasional pula susut tiga sen kepada RM9.97, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM7.18.

Dalam kalangan saham aktif, MLABS naik setengah sen kepada satu sen dan Leform susut setengah sen kepada 40.5 sen. TWL Holdings pula tidak berubah pada 3.5 sen, manakala Top Glove juga tidak berubah pada 90.5 sen dan Auro Holdings pada 17 sen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×