China ‘cabar’ Harimau Muda

China ‘cabar’ Harimau Muda

JUAN Torres Garrido berlepas ke China bersama skuad Bawah 23 tahun semalam bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa Tier 2 di Shanghai, China.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: China akan menjadi medan terbaik menguji persiapan skuad bawah 23 (B-23) negara sebelum mereka bertanding dalam Piala Asia B-23 di Qatar April tahun depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus skuad B-23, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, China FA telah menghantar surat jemputan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dan pihaknya telah menyahut permintaan itu dengan segera.

“Sebenarnya mereka menghantar surat permohonan perlawanan persahabatan pada awal minggu lepas dan sebab itu kami memanggil pemain ke kem latihan awal.

“Walaupun masih ada berbaki empat bulan tetapi perlu ingat kalender Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sudah penuh kerana pasukan senior juga ada perlawanan.

“Kita juga akan ada beberapa lagi perlawanan persahabatan kerana kita sudah kesuntukan masa untuk membuat persediaan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024 nanti,” katanya.

Terdahulu, skuad yang dikendalikan, Juan Torres Garrido berlepas ke China hari ini bagi menghadapi dua perlawanan Antarabangsa Tier 2 di Shanghai.

Seramai 24 pemain yang menyertai kem latihan pusat akan diuji menentang skuad China Bawah 23 (B-23) pada 23 dan 26 Disember ini sebagai persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024 yang dijadualkan berlangsung di Qatar, April depan.

Tambahnya, perlawanan persahabatan yang akan berlangsung di China ini adalah misi yang sangat penting bagi pemain yang telah dipanggil ke kem latihan baru-baru ini.

“Misi kita adalah pemain-pemain tersebut perlu untuk menyesuaikan diri dengan sistem dan taktikal yang dibawa oleh ketua jurulatih, Juan Torres dan pembantunya, Syukur Adan.

“Kita juga akan pergi dua minggu awal ke Doha untuk aksi beberapa perlawanan persahabatan di sana,” katanya.

Shahril juga berkata, kemungkinan akan ada perubahan pemain yang akan dilakukan setelah beberapa tonggak utama dilaporkan mengalami kecederaan.

“Mungkin akan ada perubahan pemain untuk pemain yang akan dicuba untuk skuad Harimau Muda B23 ini. Perkara ini akan memberikan cabaran kepada pemain untuk mendapat tempat utama setelah Ubaidullah dan Azam Azmi tercedera.

“Kita juga sudah bincang dengan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon bagi memberi peluang kepada pemain yang tidak dipanggil ke skuad utama Harimau Malaya untuk ke skuad B-23.,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×