KITA lazim mendengar bahawa kucing merupakan binatang kesayangan baginda Rasulullah SAW. Walaupun demikian hakikatnya, tidak ada sebarang riwayat sahih yang membuktikan bahawa baginda SAW memelihara kucing tertentu dengan nama khusus. Perkara ini berbeza dengan seorang sahabat baginda bernama Abdul Rahman ibn Sahr yang amat sinonim dengan kucing sehinggakan diberi kuniyah (gelaran) sebagai Abu Hurairah bermaksud bapa kucing. Beliau gemar membawa bersama-sama anak kucing yang dipeliharanya ke mana-mana berjalan dan bermain-main dengannya.
Kucing merupakan binatang yang suka bermain-main, dimanja serta mesra. Sifat semula jadi ini menjadikannya sebagai binatang kesayangan dan hiburan untuk kalangan pencintanya. Oleh demikian, memelihara kucing sebagai binatang peliharaan sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia.
Bahkan sesetengah orang memelihara kucing sebagai terapi bertujuan menghilangkan rasa sunyi atau mengurangkan tekanan dialami selain membantu meningkatkan kesihatan mental.
Hukum memelihara kucing adalah harus dengan menjadikan satu kaedah fiqah yang masyhur sebagai sandaran hukum yang bermaksud, “Asal setiap sesuatu itu adalah harus.” Dalam konteks perbincangan tentang kucing ini, tidak terdapat sebarang nas atau dalil daripada syarak sama ada menyuruh atau menggalakkan seseorang membelanya. Pada masa sama tidak ada juga sebarang larangan syarak bagi mengelak atau mencegah daripada memeliharanya.
Menjadi lebih mudah dalam pemeliharaan kucing sebagai binatang kesayangan kerana statusnya yang suci menurut fiqah. Sayidatina Aisyah r.a pernah menyebut, “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana kucing itu hanyalah antara binatang peliharaan yang mengelilingmu. Sungguh aku telah melihat Rasulullah SAW berwuduk dengan sisa air yang telah diminum kucing.”
Dalam satu hadis sahih (muttafaq ‘alaih), setiap individu itu merupakan pemimpin atau penjaga terhadap perkara yang berada di bawah jagaannya. Maka dalam konteks tajuk ini, apabila seseorang itu memelihara kucing, pemelihara mestilah bertanggungjawab terhadap kebajikan haiwan tersebut bagi memastikan ia sihat, bersih dan ceria.
Merujuk Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 di bawah Nilai Teras Keselamatan Negara 8, sekurang- kurangnya terdapat empat perkara perlu dititikberatkan oleh pemelihara atau penjaga haiwan. Pertama, berpengetahuan mengenai haiwan berkenaan. Kedua, penjagaan kesihatan secara rutin. Ketiga, penjagaan pemakanan (termasuk keperluan makanan tambahan). Dan keempat, persekitaran bersih dan kondusif.
Perkara keempat amat relevan dalam perbincangan ini yang menitikberatkan aspek kebersihan binatang dipelihara, pembuangan najisnya haruslah dipantau termasuklah tempat ia membuang najis, selain penyediaan fasiliti untuk ia bermain dan berehat serta melindungi haiwan tersebut daripada tumbuh-tumbuhan bertoksik atau boleh memberi kemudaratan dan mengancam nyawanya.
ONAR
Sekiranya perkara keempat ini diberi penekanan oleh individu yang memelihara kucing sebagai haiwan kesayangan mereka, secara tidak langsung kucing dipelihara tentu tidak akan mengganggu ketenteraman jiran-jiran lain. Tidak timbullah kucing peliharaan membuat onar seperti membuang najis dalam pekarangan rumah atau di dalam rumah jiran. Tidak timbul juga kucing dipelihara merosakkan harta benda milik jiran yang boleh mencetuskan persengketaan sesama jiran tetangga.
Ataupun mencemar kemudahan guna sama bagi yang tinggal di kediaman bertaraf hak milik strata.
Mungkin ramai tidak maklum sekiranya haiwan peliharaan termasuk kucing secara tiba-tiba menyerang jiran atau mana-mana orang, pemilik haiwan boleh didakwa di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan. Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sementara binatang peliharaan yang membuang najis secara merata-rata, denda maksimum sehingga RM1,000 boleh dikenakan terhadap pemiliknya berdasarkan Seksyen 80 dan 81 Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) kerana perkara ini boleh dianggap sebagai ‘kacau ganggu.’
Hal demikian ini disebabkan terdapat perkara disebut sebagai ‘tanggungjawab untuk menjaga.’ Prinsip ini meletakkan pertanggungjawaban kepada mereka yang mempunyai tanggungjawab terhadap orang/pihak/entiti berada di bawah jagaannya. Termasuklah seseorang yang menjadi pemilik haiwan peliharaan.
Hal ini bermaksud seseorang yang mempunyai tanggungjawab tersebut perlu mematuhi standard tingkah laku wajar. Apabila berlaku kegagalan oleh pemilik binatang untuk membuat langkah-langkah pencegahan terhadap binatang peliharaannya, maka prinsip tanggungjawab untuk menjaga boleh diguna pakai. Jika kita perhatikan prinsip ini, ia amat selari dengan tujuan maksud hadis sebelum ini bahawa setiap individu itu merupakan pemimpin atau penjaga terhadap perkara yang berada di bawah jagaannya, dan akan ditanya tentang amanah yang ditanggungnya.
Sebelum manusia menggubal undang-undang bagi memastikan masyarakat dapat hidup aman dan tenteram, Allah SWT telah berfirman dalam surah an-Nisaa’ ayat 36 bermaksud, “Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat dan orang musafiir yang terlantar serta hamba yang kamu miliki.”
Maksud kalam Allah SWT tersebut selaras dengan larangan daripada melakukan kacau ganggu terhadap jiran tetangga melalui hadis bermaksud, “Tidak akan masuk syurga, orang yang membuat jirannya tidak merasa aman daripada gangguannya.” (Riwayat Muslim).
Sebagai rumusan kepada perbincangan ini, pemilik binatang peliharaan perlulah mempunyai rasa tanggungjawab untuk memelihara ketenteraman awam. Bukan kerana peringatan tentang hukuman yang termaktub dalam perundangan, tetapi lebih kepada penghayatan hidup beragama kerana Islam telah meletakkan kedudukan yang istimewa dalam hubungan kejiranan. Dalam hal ini sesiapa sahaja memahami bahawa hubungan baik sesama jiran tetangga akan melahirkan suasana hidup bersama yang tenteram.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan di Pusat Kajian Syariah, Undang-undang & Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).-UTUSAN










