Bukit Malut: Di Myanmar atau Malaysia? - Utusan Malaysia

Bukit Malut: Di Myanmar atau Malaysia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI:  Kotor, berbau busuk, menakutkan dan dipandang serong.

Itu persepsi pertama sebaik menjejak kaki memasuki Little Myanmar di Bukit Malut pada 4 Mac lalu selama setengah jam bermula pukul 10.30 pagi.

Bahkah, semasa memandu kereta menyusuri beberapa jalan sempit di perkampungan itu, perasaan saya sebagai wartawan dan jurugambar berasa bagaikan berada di negara asing.

Bukit Malut terletak di Langkawi, sebuah pulau di Kedah milik Malaysia, tetapi warga Myanmar yang dianggarkan seramai 10,000 orang menghuni di situ menganggap  kawasan tersebut  bagaikan wilayah mereka.

Warga Myanmar yang mendakwa berketurunan Melayu Islam Kedah (MIK) tidak `suka' melihat individu luar memasuki perkampungan itu dengan ramai memandang tajam ke arah kami berbanding memberi senyuman’.

Sepanjang tinjauan tersebut, setiap langkah kami bagaikan ada ‘mata-mata’ mengekori.

PERSEKITARAN perkampungan warga Myanmar di Bukit Malut, Langkawi yang tidak teratur. – UTUSAN/SHAHIR NORDIN

Mengikut sumber penduduk tempatan, kawasan tersebut ‘keras.’ Pernah dilaporkan kes-kes sebelum ini, pengunjung dalam kalangan rakyat tempatan dihalau warga Myanmar yang mungkin rasa `terancam’.

Tinjauan ke tengah-tengah penempatan itu pula mendapati, keadaan rumah yang banyak dibina separuh kayu dan simen itu terlalu padat dan tidak tersusun. Jika berlaku kebakaran dibimbangi ramai yang terkorban.

Sepanjang penerokaan di kawasan berkeluasan kira-kira 6.7 hektar, kami terhidu bau tidak menyenangkan kerana penduduk membuang sampah di merata-rata seperti ke dalam sungai atau laut yang memudahkan mereka.

Sikap penduduk yang bukan sahaja wujud secara `misteri’ itu turut mencemarkan imej Langkawi sebagai pulau peranginan bertaraf dunia. Turut `menyakitkan mata’ apabila kebanyakan rumah menyidai kain termasuk pakaian dalam secara terbuka.

Bagaimanapun, dalam pemerhatian singkat itu, yang `istemewanya’ kelihatan kebanyakan rumah mempunyai bekalan elektrik dan air. Kami juga sekali-sekala terdengar siaran televisyen yang mungkin menggambarkan kawasan tersebut ada capaian internet.

Sesetengah rumah, tiang elektrik nampak keluar dari bumbung beratapkan zink. Kebanyakan penduduk di situ yang didakwa 70 peratus mempunyai Mykad bekerja sebagai nelayan.

Bagi memudahkan kehidupan harian, kawasan tersebut mempunyai beberapa kedai runcit menjual barangan asas termasuk kedai telekomunikasi, selain sebuah surau untuk beribadat dalam komuniti berkenaan.

PERSEKITARAN perkampungan warga Myanmar di Bukit Malut, Langkawi yang tidak teratur. – UTUSAN/SHAHIR NORDIN

Suasana semasa tinjauan tenang kerana kebanyakan penduduk keluar bekerja dan yang tinggal ramai cuma dalam kalangan warga emas dan wanita. Mereka ini fasih berbahasa Melayu dalam dialek Kedah.

Namun yang pasti, semua yang ditemui pada hari tersebut tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 kerana tidak memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.

Jalan di penempatan itu sempit dan hanya boleh dilalui sebuah kereta pada satu-satu masa.

Sepanjang tinjauan, beberapa kali kami memasuki jalan mati dan terpaksa berpatah balik mencari jalan keluar. Jika dikejar samseng-samseng Bukit Malut, sukar dibayangkan nasib kami.

Namun, demi menjayakan laporan khas untuk tatapan pembaca, kami yakinkan diri dan semangat membongkar penempatan warga Myanmar di Bukit Malut yang kurang menyenangkan penduduk Langkawi.

Ada sebab penduduk Langkawi tidak `suka” warga Myanmar berkenaan antaranya didakwa ada dalam kalangan penghuni di situ terbabit dengan pelbagai jenayah terutama dadah.

Selain itu, warga tempatan juga hairan bagaimana kumpulan itu boleh menguasai tanah kerajaan sejak tahun 1980-an tanpa `gangguan’ undang-undang.

Lebih besar masalahnya, penempatan Little Myanmar itu didakwa memberi imej buruk kepada pulau pelancongan antarabangsa tersebut.

Justeru, sepanjang tinjauan tersebut, kami sangat berhati-hati ketika merakam gambar bagi mengelakkan dikesan penduduk di situ. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×