Tidak pindah kerana masalah kewangan

Tidak pindah kerana masalah kewangan

SITUASI kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, Puchong, Selangor. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Empat sekeluarga bertekad tinggal di kediamannya di Jalan Wawasan 3/9, Taman Wawasan, di sini meskipun bekalan air dan elektrik terputus akibat kejadian tanah runtuh, Sabtu lalu.

Low Mee Yeng, 69, berkata, hanya mereka sekeluarga yang masih menetap di lokasi terjejas kerana masalah kewangan untuk berpindah ke tempat lain.

“Jiran-jiran saya semuanya sudah berpindah ke rumah keluarga terdekat selepas kejadian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Mee Yeng yang tinggal bersama suami dan dua anaknya turut meluahkan kebimbangan sekiranya berlaku tanah runtuh pada bila-bila masa di kawasan kediamannya.

“Saya tengok keadaan dan maklum balas daripada pihak berkuasa sekiranya ada arahan wajib untuk pindah, saya akan berpindah.

“Saya difahamkan pusat pemindahan sementara (PPS) hanya disediakan untuk penduduk yang rumahnya terjejas dan saya tidak termasuk meskipun terletak sederet dengan kediaman terjejas,” katanya.

Dia berharap ada tindakan susulan daripada pihak berkuasa untuk membantu penduduk sekitar yang masih tinggal di kediaman mereka.

Sementara itu, Pengerusi Bencana Daerah Petaling, Rahilah Rahmat berkata, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (Bahagian Cerun dan Forensik) akan meneruskan pemeriksaan di lokasi dan PPS yang disediakan kepada penduduk terjejas juga sudah ditutup dengan semua mangsa dilaporkan berpindah ke rumah saudara masing-masing.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, sebanyak 52 cerucuk besi sudah ditanam di lokasi kejadian dan pergerakan juga tidak lagi dikesan.

Katanya, pergerakan tanah yang berlaku kelmarin sehingga simen hadapan pintu pagar beberapa rumah mulai runtuh disebabkan oleh kerja-kerja menanam cerucuk dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×