SETIU: “Kami seperti berada di tengah lautan,” luah pasangan warga emas selepas kediaman mereka di Kampung Mak Bakas di Pelong, dekat sini, dimasuki air sedalam kira-kira 3.6 meter dalam kejadian banjir, semalam.
Daud Che Mat, 61, berkata, hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan paras air sungai yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya meningkat mendadak sehingga hampir menenggelamkan rumahnya.
“Keadaan tersebut menyebabkan air telah melimpah masuk sehingga ke tingkat atas rumah saya.
“Paras air meningkat sangat cepat, pada pukul 7 malam saya tengok air baru mula naik tetapi sejam kemudian paras air sudah mencecah lantai rumah sehingga di tingkat dua,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Mak Bakas di Pelong, di sini semalam.
Menurut Daud, ketika kejadian hanya dia dan isterinya, Rohani Ismail, 51, serta anak perempuan mereka Che Nor Farihan Daud, 24, berada di rumah. Katanya, melihat keadaan banjir semakin memburuk, mereka sekeluarga meminta bantuan anak saudaranya untuk menyelamatkan mereka dengan menggunakan bot gentian sebelum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Surau Kampung Mak Bakas.
Sementara itu, Rohani berkata, dia tidak menyangka berdepan dengan bencana banjir ekoran keadaan cuaca cerah beberapa hari lalu.
“Saya ingatkan banjir kali ini biasa-biasa sahaja sebab tengok cuaca hujan sekejap-sekejap dan kadangkala ada cahaya matahari tetapi tidak sangka air banjir sampai setinggi itu.
“Apabila tengok paras air yang semakin tinggi, bermacam-macam perkara bermain di kepala saya. Kami bimbang akan mengancam keselamatan kami sekeluarga kerana pada banjir tahun lalu telah menyebabkan bahagian tandas rumah kami roboh dibawa arus,” katanya. –UTUSAN











