Ke mana hala tuju pendidikan tinggi di bawah Zambry?

Ke mana hala tuju pendidikan tinggi di bawah Zambry?

Hubungan Antara Pentadbir Universiti, Tenaga Akademik, Mahasiswa
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Datuk Seri Zambry Abd. Kadir dilantik sebagai Menteri Pendidikan Tinggi dalam penyusunan baharu Kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semestinya ada sesuatu yang istimewa pada sosok Zambry yang diberikan kepercayaan oleh Anwar bagi menggantikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Bukan bermakna Mohamed Khaled mempunyai kelemahan, tetapi apakah keistimewaan ada pada Zambry yang boleh membawa warna baharu kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)? Tidak semestinya membawa reformasi secara besar-besaran kepada pendidikan tinggi sedia ada, tetapi juga pengekalan dan pengukuhan polisi sedia ada juga boleh membawa kesan baik.

Inti utama perlu difikirkan, apakah itu universiti dan komponen utama perlu benar-benar berfungsi?

Jangan hanya gah pada nama dan kulitnya, tapi hakikat sebenarnya ‘koyak rabak’ fungsi dan matlamat sebenar universiti. Universiti kita ‘dijajah’ tanpa sedar, mahasiswa dilahirkan separuh masak dan pensyarahnya dalam kebingungan, separuh ikhlas serta mengalami krisis identiti yang serius. Pengajaran-pembelajaran yang hingar-bingar akibat pertembungan ‘perhiasan kulit’ dan tugas sebenar pensyarah semakin diketepikan.

Semua orang tahu universiti adalah pusat pengajian tinggi yang di dalamnya terdiri daripada mahasiswa telah melepasi tapisan tertentu untuk melayakkannya masuk belajar. Persoalan timbul, adakah sebenarnya jumlah memasuki universiti sekarang benar-benar layak? Atau ada faktor lain yang membolehkan seseorang itu masuk universiti?

Dalam 1970-an sehingga awal 1990-an pelajar mencari universiti dan berusaha keras bagi melayakkan seseorang masuk universiti dengan begitu susah-payah. Sekarang telah berubah, universiti mencari pelajar! Benarlah sekarang telah berubah kerana meluaskan pendemokrasian pendidikan tinggi kepada semua. Jumlah kemasukan yang besar dan tidak benar-benar layak memberi kesan kepada mutu graduan dihasilkan.

Untuk menghasilkan roti yang baik, tepung gandum hendaklah dipilih daripada yang benar-benar bermutu. Adakah pengangguran graduan yang tinggi berpunca daripada persoalan ini? Kenapa yang tidak begitu ‘akademis’ sifat dan kelayakannya disalurkan kepada institut kemahiran yang sangat diperlukan negara? Yang akademis dan bakal pembuat dasar hanyalah sebahagian kecil, tetapi benar-benar terpilih.

Tiga komponen utama seperti disebutkan Zambry baru-baru ini adalah mahasiswa, tenaga akademik/pensyarah, pentadbir. Inilah tiga komponen utama yang ada di sesebuah universiti. Ketiga-tiga ini mempunyai satu matlamat sama, iaitu memajukan ilmu akademik dan bukan sebarang tujuan lain. Semua matlamat lain adalah bukan yang utama dan tidak sepenting matlamat ilmu dan kemajuan akademik. Sebarang keputusan mestilah berasaskan kepada kepentingan ilmu dan akademik sebagai matlamat utama. Universiti bukan institusi yang mempunyai unsur-unsur perniagaan dan keuntungan material wang ringgit. Kepentingan material yang membawa kesan negatif kepada kemajuan ilmu akademik hendaklah diketepikan.

KENAIKAN PANGKAT

Mahasiswa seperti dinyatakan di atas hanya individu mempunyai tahap tertentu yang benar-benar baik mutunya layak memasuki universiti dan bukan ditentukan oleh sebarang faktor lain. Yang tidak layak dari segi pencapaian ilmu akademiknya perlu disalurkan kepada latihan-latihan kemahiran yang lebih sesuai.

Apabila memasuki universiti, kesedaran akan matlamat utama masuk univesiti mesti sentiasa dibina dan dikekalkan. Peranan hal ehwal pelajar dan alumni (HEPA) terutama timbalan naib canselor (TNC) dan timbalan dekan di setiap fakulti mesti sentiasa bergerak. Jangan pilih seseorang menjadi TNC HEPA yang tidak berkebolehan (hanya kerana aliran politik sama tapi lembab dalam pembinaan jiwa mahasiswa). Mesti dipilih daripada mereka yang berjiwa membina, berani bertindak dan berpandangan jauh.

Tenaga akademik hendaklah benar-benar menjalankan tugas sebagai pensyarah dan menekankan aspek pengajaran-pembelajaran, tanpa mengetepikan tugas-tugas lain berkaitan (seperti penyelidikan, penulisan, perundingan dan khidmat sosial). Pensyarah jangan dibebankan dengan tugas-tugas bukan akademik (perkeranian/pentadbiran) berlebihan sehingga mengganggu tugas utama. Krisis identiti sedang berlaku sekarang di mana tugas utama pensyarah telah diganggu oleh tugas-tugas pentadbiran dan perkeranian yang semakin berat.

Tugas utama pensyarah iaitu pengajaran-pembelajaran dianggap kurang penting dan semua orang boleh melakukannya. Peningkatan pengajaran-pembelajaran tidak dilihat suatu yang penting. Dalam penilaian kenaikan pangkat, pengajaran-pembelajaran perlu dilihat sebagai satu perkara penting dan perlukan suatu tempoh masa tertentu. Jangan tugas pentadbiran seseorang pensyarah dilihat lebih penting dalam proses kenaikan pangkat.

Tugas utama pentadbir adalah memajukan ilmu dan akademik sesebuah universiti. Ini mestilah dijadikan matlamat akhir setiap pentadbir. Semua keputusan dan polisi yang dibentuk mesti dikaitkan dengan kesan positif kepada kemajuan ilmu akademik universiti. Apa sahaja keputusan yang memberi kesan buruk kepada akademik universiti mesti ditentang dan diselesaikan dengan sebaik mungkin. Pemilihan pentadbir universiti dari semua peringkat adalah berasaskan kebenaran ilmu, bukan kerana faktor lain. Bermula daripada pembantu tadbir, penolong pendaftar, pendaftar, TNC dan naib canselor hendaklah mereka yang faham tentang akademik dan matlamatnya. Pemahaman ini perlu sentiasa digilap semasa dalam perkhidmatan universiti.

Gabungan tiga komponen utama iaitu mahasiswa-tenaga akademik-pentadbir adalah hubungan saling melengkapi antara satu sama lain. Hubungan baik dalam sebarang bentuk antara tiga komponen ini adalah sangat perlu dalam kemajuan pembangunan sesebuah universiti. Perdebatan terbuka secara sihat perlu ada antara ketiga-tiga komponen ini.

Mahasiswa melalui majlis perwakilan pelajar (MPP) perlu aktif dan benar-benar faham fungsinya, tidak boleh ‘dibeli’ oleh pentadbir universiti. Pihak pentadbir utama universiti perlu terbuka dan sentiasa membuka ruang dan kerap mengadakan perdebatan terbuka dengan tenaga akademik.

Saya berpendapat pimpinan Zambry akan lebih melihat semua hal yang berkaitan dengan kemajuan universiti dalam semua aspek. Kebolehan Zambry tidak diragukan dengan kelayakan ijazah doktor falsafah yang dimilikinya dan pengalaman beliau yang pernah menjadi pemimpin pelajar dan pensyarah universiti. Selamat maju jaya KPT di bawah pimpinan Zambry. – UTUSAN

Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan & Etnografi, Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×