PERBANDARAN Seremban 2 (S2), projek yang dimajukan IJM Land, telah berkembang pesat dan meraih pelbagai anugerah berprestij sejak mula dibangunkan pada 1995.
Perkembangan dalam perbandaran serba lengkap ini telah melonjakkan permintaan, bukan sahaja untuk hartanah kediaman, malah membabitkan komponen komersial.
Dengan kadar kependudukan semasa berjumlah lebih 62,000 orang, populasi di S2 dijangka mencatatkan pertumbuhan luar biasa dan diunjurkan melebihi 100,000 penduduk setelah projek berkenaan siap sepenuhnya sejajar dengan trajektori pertumbuhan pembangunan sekitar.
Selain kadar kependudukan, kehadiran pelawat yang semakin meningkat juga merancakkan lagi perusahan komersial.
Nexus, pusat atau titik fokus, merujuk kepada pusat tumpuan, akan menjadi hab komersial yang terlaris dengan menawarkan rangkaian kedai gaya hidup berstatus pegangan bebas, sambil berfungsi sebagai pintu masuk kepada ketersambungan, kemudahan dan keunggulan komponen komersial.
“Nexus Seremban 2, yang terletak dengan strategik di tengah-tengah perbandaran, memiliki potensi besar untuk menjadi hab komersial yang berkembang pesat.
“Dengan kedudukannya yang strategik, Nexus Seremban 2 menawarkan peluang unggul kepada perniagaan-perniagaan untuk bertapak dalam komuniti yang dinamik dan terus berkembang ini,” jelas syarikat hartanah itu dalam kenyataan.
Tambahnya, dengan menjadi sebahagian daripada Nexus Seremban 2, perniagaan-perniagaan boleh memanfaatkan infrastruktur dan kemudahan sedia ada di perbandaran berkenaan.
Kawasan pembangunan ini dilengkapi dengan kemudahan moden, termasuk hartanah kediaman, institusi pendidikan, pusat penjagaan kesihatan, dan ruang rekreasi yang akan terus menarik pelanggan berpotensi secara berterusan.
“Selain daya tarikan komersialnya, Nexus Seremban 2 juga menawarkan peluang kepada perusahaan untuk mengembangkan rangkaian dan mewujudkan kerjasama baharu. Kewujudan pelbagai perniagaan dalam hab berkenaan juga akan mencipta pelbagai peluang sinergi yang boleh diterokai. Persekitaran ini akan turut menyumbang kepada kejayaan perniagaan yang beroperasi di Nexus Seremban 2,” tambahnya lagi.

Menurutnya, pembangunan Nexus dibahagikan kepada dua fasa, dengan satu fasa khusus untuk komponen pejabat kedai gaya hidup, manakala satu lagi fasa dicadangkan sebagai tanah pusat komersial yang berpotensi untuk dibangunkan menjadi ruangan runcit pada masa hadapan. Sejumlah 166 kedai pegangan bebas akan dibina di atas plot seluas 21.42 ekar ini.
Fasa 1 terdiri daripada 147 unit pejabat kedai gaya hidup dua tingkat, dan 19 unit lagi adalah pejabat kedai gaya hidup yang akan dilengkapi dengan tempat letak kereta bawah tanah.
“Keluasan binaan kasarnya adalah kira-kira 3,455 kaki persegi hingga 10,559 kaki persegi, dengan harga bermula daripada RM1.39 juta. Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bagi projek Nexus dianggarkan berjumlah sekitar RM300 juta,” katanya.
Reka bentuk seni bina kedai-kedai pejabat ini menggabungkan sentuhan retro dengan menzahirkan keabadian dan mengetengahkan wataknya tersendiri.
Dengan bahagian hadapan yang menonjol, paparan tingkap yang besar, dan modul bahagian dalaman untuk memudahkan pengubahsuaian, premis ini sangat sesuai untuk pelbagai perniagaan serta penawaran gaya hidup yang akan memenuhi keperluan penduduk dan pelawat S2, katanya lagi. – UTUSAN










