Mangsa banjir Kelantan lebih 1,200 orang, Terengganu berkurangan

Mangsa banjir Kelantan lebih 1,200 orang, Terengganu berkurangan

ANTARA kawasan yang dinaiki air di Kuala Krai, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seramai 1,237 mangsa banjir dari 350 keluarga berlindung di 18  pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini setakat pukul 4 petang semalam.
Sekretariat Pengurusan Bencana negeri memaklumkan, banjir gelombang kedua itu menjejaskan jajahan Kuala Krai, Tanah Merah dan Pasir.

“Di Kuala Krai, sembilan PPS yang dibuka ialah di Pusat Komuniti Chuchuh Puteri A yang menempatkan 74 mangsa, Mad­rasah Chuchuh Puteri A (39 orang), Masjid Chuchuh Puteri A (42 orang), Pejabat Veterinar (58 orang), Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang (91 orang), Madrasah Kampung Sepuluh (69 orang), SK Banggol Guchik (118 orang), SMK Kuala Krai (112 orang) dan SK Sungai Embak seramai 208 mangsa.

“Di Tanah Merah pula terdapat lapan PPS iaitu SK Kelewek yang menempatkan 30 mangsa, SK Gual Jedok (17 orang), Balai Raya Padang Kijang (39 orang), Madrasah Wak Seman Kampung Air Batu (97 orang), SK Alor Pasir (24 orang), SMK Bukit Bunga (28 orang),  SMU (A) Kajang (124 orang) dan SK Kulim seramai 55 mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, SK Rahmat menjadi PPS tunggal di Pasir Mas yang diaktifkan ketika ini bagi menempatkan 12 mangsa dari tiga keluarga.

Sementara itu, tujuh sungai utama di negeri ini berada pada paras normal kecuali Sungai Kelantan di Tangga Krai dan Su­ngai Semerak di Jambatan Melor berada pada paras berjaga-jaga. Bagaimanapun Sungai Golok di Rantau Panjang sudah melepas paras bahaya.

Dalam pada itu, jumlah mang­sa banjir di Terengganu merekodkan penurunan kepada 330 orang daripada 109 keluarga setakat pukul 4 petang semalam berbanding 461 orang daripada 148 keluarga pada pukul 8 pagi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, cuaca yang agak baik semalam membolehkan empat pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup secara berperingkat sejak tengah hari.

Menurutnya, ketika ini terdapat lima PPS yang masih beroperasi di dua daerah iaitu tiga di Hulu Terengganu dan dua di Setiu.

“Di Hulu Terengganu, terdapat 317 mangsa daripada 105 keluarga manakala di Setiu, jumlahnya kekal  13 mangsa dari empat keluarga,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan, hanya satu sungai di Terengganu masih melepasi paras bahaya.

Sungai tersebut ialah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau (daerah Dungun) yang merekodkan bacaan setinggi 13.23 meter berbanding paras bahaya 12.50 m. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×