LTAT lupus pegangan dalam BHIC

LTAT lupus pegangan dalam BHIC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah melupuskan keseluruhan pegangan langsungnya sebanyak 8.16 peratus dalam Boustead Heavy Industries Corp Bhd (BHIC).

Pelupusan itu menyaksikan LTAT kini mempunyai pegangan tidak langsung dalam Syarikat berkenaan melalui Boustead Holdings Bhd.

BHIC dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, LTAT menjual 20.27 juta saham berkenaan untuk membantu BHIC memenuhi keperluan pegangan saham awam selaras cadangan penyelesaian hutangnya.

“Pada masa ini, Syarikat mematuhi keperluan tebaran pegangan saham awam,” katanya dalam makluman tersebut.

Boustead Holdings memegang 161.5 juta saham dalam BHIC, mewakili 64.99 peratus kepentingan dalam Syarikat tersebut.

Saham BHIC didagangkan tidak berubah pada 55 sen pada waktu rehat pasaran tengah hari semalam, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM135.5 juta.

BHIC telah mengumumkan rancangan untuk menyelesaikan hutang bernilai RM183.26 juta kepada Affin Bank Bhd., MBSB Bank Bhd. dan AmBank Islamic Bhd. melalui pembayaran tunai, serta terbitan 68.9 juta saham biasa dan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS)

BHIC juga menjelaskan hutang bernilai RM234 juta kepada Boustead Holdings melalui penerbitan saham biasa, serta subordinat Kelas B dan Kelas C RCPS kepada pemegang saham itu.

Terbitan saham biasa akan menyaksikan pegangan Boustead Holdings dalam BHIC naik kepada 72.38 peratus, manakala AmBank Islamic akan memegang 4.96 peratus, diikuti MBSB (4.92 peratus) dan Affin Bank (2.33 peratus).

Secara keseluruhan, BHIC akan menerbitkan 23.63 juta RCPS A, 132.17 juta RCPS-i A, 84.66 juta RCPS B dan 78.95 juta RCPS C.

Semua saham keutamaan boleh ditukar kepada saham biasa berdasarkan asas satu sama satu, tanpa tarikh akhir penukaran.

Sehingga 30 November, dana pemegang saham BHIC berjumlah RM53.5 juta, selepas mengambil kira kerugian terkumpulnya sebanyak RM195 juta.

Sementara itu, tunai dan setara tunai Syarikat, berdasarkan penyata kewangan belum diaudit bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023, berjumlah RM10.39 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×