RM600 juta bina kilang pembuatan, pemasangan NEV di Rembau

RM600 juta bina kilang pembuatan, pemasangan NEV di Rembau

AMINUDDIN Harun, SM Azli (dua, kiri) dan Kwee Shyan (kiri) bersama kereta EV jenama NETA pada majlis pembukaan Careplus Mall di Seremban 2, Seremban. – UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu (NEV) akan dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 30 hektar di Kawasan Perindustrian Chembong, Rembau bermula tahun hadapan.

Pengerusi Kumpulan Go Auto, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata, projek pembangunan kilang yang mempunyai anggaran keseluruhan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM600 juta itu turut melibatkan syarikat Careplus Group Bhd. menerusi syarikat usahasama, NexV Manufacturing.

“Kilang ini apabila siap nanti bukan sahaja dapat memasang kenderaan jenama kami sendiri seperti NETA namun terbuka juga kepada jenama-jenama kenderaan elektrik (EV) lain yang berhasrat untuk melakukan pemasangan tempatan (CKD).

“Kilang ini akan dibina secara berperingkat dari tahun 2024 hingga 2028 dengan fasa pertama projek ini akan melibatkan pembangunan kilang pemasangan yang dijangka dimulakan pada suku pertama tahun hadapan. Fasa kedua dan ketiga akan bermula pada tahun 2026 dan 2028.

“Anggaran keseluruhan GDV projek pembangunan kilang pembuatan dan pemasangan kenderaan tenaga baharu berserta vendor ini adalah kira-kira RM600 juta dan insya-Allah produk pertama yang dijangkakan bakal dikeluarkan oleh kilang ini adalah model Neta V pada suku pertama tahun 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Careplus Mall di Seremban 2 di sini, semalam.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Careplus Group Bhd., Lim Kwee Shyan.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, jangkaan pelaburan projek tersebut pastinya membantu dalam mengembang dan mengukuhkan ekonomi Negeri Sembilan.

“Saya minta semua agensi yang terlibat untuk membantu usaha ini sebaik mungkin. Saya juga berharap projek ini dapat disegerakan demi merebut pasaran kereta elektrik yang semakin berkembang pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Kwee Shyan berkata, Careplus Mall yang dirasmikan hari ini merupakan usaha pihaknya bagi menerokai potensi perniagaan dalam bidang teknologi hijau dan tenaga baharu selepas terlibat dalam perniagaan pembuatan sarung tangan getah sejak tahun 1988.

“Di sini kami mempunyai pusat jualan, servis, alat ganti dan baik pulih bagi kenderaan elektrik jenama Neta dan juga peralatan solar.

“Kami juga telah menjemput beberapa perniagaan yang berkaitan untuk bersama-sama memajukan Careplus Mall ini antaranya seperti pihak Gentari yang telah bersetuju untuk memasang stesen pengecas DC berkapasiti diantara 180- 250kW sebanyak enam unit di sini.

“Apabila pemasangan stesen pengecas DC ini siap nanti yang dijangka pada suku kedua tahun hadapan, kami menjangkakan tempat ini akan menjadi salah satu tempat persinggahan utama kepada pengguna EV termasuk kenderaan perdagangan seperti EV bas dan EV van untuk mengecas kenderaan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×