PRS: Sapura Energy terima kelulusan prinsip daripada pembiaya 

PRS: Sapura Energy terima kelulusan prinsip daripada pembiaya 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekurang-kurangnya 75 peratus daripada pembiaya Kemudahan Pembiayaan Pelbagai Mata Wang bernilai kira-kira RM10.3 bilion (Pembiaya MCF) secara prinsipnya telah memberi kelulusan untuk cadangan skim penstrukturan semula hutang (PRS) Sapura Energy Bhd.

Sapura Energy dalam satu kenyataan berkata, pengesahan bertulis itu diterima Kumpulan daripada Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat (CDRC).

Jelasnya, pengesahan itu adalah pencapaian penting dalam Rancangan Penyusunan Semula Sapura Energy merangkumi usaha menangani beban hutang tidak mampan serta bayaran tertunggak kepada pemiutang perdagangan.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen Syarikat untuk mewujudkan penyelesaian yang adil dan saksama bagi semua pemangku kepentingan, terutamanya vendor-vendor Malaysia yang merupakan usahawan kecil dan sederhana.

“Tindakan ini membabitkan tuntutan kira-kira RM1.5 bilion daripada para vendor. Sejak September tahun lalu, Sapura Energy dan Pembiaya MCF berunding melalui CDRC bagi mencapai kata sepakat berhubung PRS berkenaan.

“Kelulusan secara prinsip bagi PRS ini membuka ruang untuk suatu mesyuarat melalui perintah mahkamah  diadakan bersama pemiutang-pemiutang Sapura Energy dan anak-anak syarikat yang berkaitan,” katanya.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy, Datuk Mohd. Anuar Taib berkata, Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Sapura Energy merakamkan penghargaan kepada ahli CDRC atas bimbingan dan profesionalisme yang tidak ternilai sepanjang proses perundingan.

“Kami juga berterima kasih kepada Pembiaya MCF atas sokongan berterusan terhadap Sapura Energy.

“Selain itu, kami turut merakamkan penghargaan istimewa kepada penasihat-penasihat kami. Kerjasama, wawasan yang strategik dan komitmen mereka memainkan peranan penting dalam pencapaian ini,” katanya.

Antara penasihat utama Sapura Energy adalah PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. Sage 3, Saheran Suhendran, Rahmat Lim & Partners, Kirkland & Ellis, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, dan Albar & Partners, serta penasihat kepada Pembiaya MCF termasuk Kroll, Wong & Partners dan Mayer Brown.

Tambah beliau, Syarikat dan penasihat-penasihatnya akan terus bekerjasama dengan Pembiaya MCF dan CDRC untuk memastikan penstrukturan semula hutang Sapura Energy diselesaikan dengan tuntas.

Dengan adanya kelulusan dasar, pihaknya cukup yakin perjalanan itu sudah menghampiri penghujungnya.

“Ini merupakan langkah positif ke arah mengatur semula kedudukan kewangan kami agar Sapura Energy akhirnya tidak lagi berstatus syarikat Nota Amalan 17,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×