CAMERON HIGHLANDS: Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) mendakwa projek ekopelancongan yang hendak dibangunkan di atas bukit di satu kawasan di sini yang dibantah oleh pihaknya, mula memberi kesan terhadap penduduk.
Presiden Reach, A. Dilip Martin berkata, ini selepas berlaku kejadian banjir lumpur yang melanda kediaman penduduk berdekatan bukit tersebut baru-baru ini.
Menurutnya, hujan lebat selama kira-kira tiga jam menyebabkan air dari bukit tersebut mengalir ke sungai bersebelahan dan mengalir ke kawasan kediaman penduduk.
“Sejak awal lagi kami memang membantah projek pembangunan ekopelancongan di atas bukit itu kerana ia terletak terlalu hampir dengan rumah penduduk yang terletak di bawah bukit tersebut.
“Kebimbangan kami berasas kerana kesannya sudah mula berlaku apabila air hujan turut membawa lumpur dari bukit, mengalir turun ke kawasan rumah yang terletak di bawah bukit tersebut.
“Apa yang menjadi kebimbangan kami ialah jika kerja-kerja tanah dilaksanakan, sudah pasti ia akan menyebabkan banjir lumpur yang lebih buruk jika hujan lebat.
“Ini kerana air hujan memang tidak mengalir ke kawasan lain sebaliknya akan terus ke kawasan yang didiami penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dilip Martin berkata, sehubungan itu, Reach mengulangi gesaan agar projek tersebut dikaji semula kerana ia memberi kesan yang buruk terhadap alam sekitar dan penduduk.
“Reach mohon Jabatan Alam Sekitar (JS) melihat semula projek ini, yang memang tidak sesuai dilaksanakan di atas bukit.
“Kami juga mohon semua projek Perbadanan Kemajuan Cameroh Highlands harus mengikut semua syarat yang ditetapkan RTDCH.
“Ini bagi memastikan pembangunan sesuatu projek di sini tidak memberi kesan terhadap alam sekitar seperti kejadian banjir baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN










