GUA MUSANG: Kemusnahan ekosistem alam sekitar yang disebabkan oleh aktiviti pembalakan dan pembukaan ladang mega di kawasan hulu negeri ini dan projek pembinaan Hidroelektrik Nenggiri didakwa menjadi punca kawasan hutan semakin merosot.
Situasi itu mengundang kepada berlakunya menyebabkan konflik antara manusia dan hidupan liar mutakhir ini.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along mendakwa, masalah tersebut memberikan kesan tidak baik kepada penduduk di Hulu Kelantan sekali gus menjejaskan pendapatan serta sumber makanan.
“Sejak kebelakangan ini krisis hidupan liar dengan manusia semakin kerap berlaku dan kami (Orang Asli) menjadi mangsa. Lihat sahaja kejadian yang berlaku di Kampung Sau, Pos Bihai kesan daripada aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan.
“Pembukaan hutan secara tidak terkawal bukan sahaja menjejaskan hidupan liar, malah masyarakat Orang Asli turut terkesan dengan situasi ini apabila sumber makan berkurangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Mustafa memberitahu, situasi itu menyebabkan hidupan liar seperti gajah dan beruang menceroboh kawasan perkampungan Orang Asli untuk mendapatkan makanan.
Katanya, kerajaan perlu lebih agresif mencari jalan penyelesaian segera bagi memastikan keselamatan Orang Asli di kawasan pedalaman terjamin.
“Sebagai wakil penduduk Orang Asli, JKOAK mendesak Kerajaan Negeri menghentikan kelulusan kawasan pembalakan, perladangan atau projek mega termasuk kelulusan yang sudah dan sedang dilakukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan(JPNK),” ujarnya.
Mustafa turut mengesa agar undang-undang seperti undang-undang perhutanan dan hidupan liar dikaji semula memandangkan terdapatnya percanggahan.
“Percanggahan ini dapat dilihat dengan jelas dengan kedudukan istimewa Kerajaan Negeri dalam memberi kebenaran bagi mengusaha hasilkan kawasan tanah berhutan, seperti yang nyatakan di dalam Akta 313, Perhutanan Negara 1984.
“Kerajaan Persekutuan pula dilihat memainkan peranan di dalam memastikan kelangsungan kewujudan hidupan liar, sebagaimana yang termaktub di dalam Akta 716, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 1972,” katanya. – UTUSAN










