BULAN Rejab mempunyai keistimewaan khusus kerana termasuk dalam bulan yang diharamkan berperang sejak zaman jahiliah (sebelum kedatangan Islam) lagi. Malahan Rejab menjadi bulan persediaan awal dalam pemanasan badan sebelum kita menjejak bulan Ramadan yang menjadi kewajipan kepada semua umat Islam berpuasa.
Proses pemanasan badan ini termasuklah berpuasa, memperbanyakkan amalan sunat, tilawah al-Quran dan bersedekah. Amalan-amalan ini penting sebagai proses membersihkan diri dan jiwa sebelum menjejak bulan Ramadan. Walaupun tidak dikhususkan amalan tertentu pada bulan Rejab, namun melakukan amalan sunat, berdoa, meminta ampun adalah rutin dalam kehidupan seorang Muslim.
Di samping itu, bulan Rejab dikaitkan dengan satu peristiwa penting bagi umat Islam iaitu peristiwa Israk Mikraj, iaitu perjalanan Nabi SAW dari Mekah ke Palestin, kemudiannya naik ke sidratul muntaha untuk menerima satu taklifan (tanggungjawab) buat umat Islam, iaitu perintah solat fardu lima waktu sehari.
Peristiwa ini terakam dalam surah al-Israk ayat 1: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Selain peristiwa tersebut, tersurat perintah solat lima waktu. Mukjizat ini turut menyiratkan satu pemaparan kehebatan dalam teknologi pengangkutan. Dalam tempoh semalaman, jarak yang begitu jauh ditempuhi oleh baginda bagi menyempurnakan ibadah umat Islam.
RUKUN ISLAM
Dengan berlakunya peristiwa Israk Mikraj, Rukun Islam kedua bagi umat Islam, iaitu solat fardu telah ditentukan secara spesifik sebanyak lima waktu sehari. Setiap waktu telah ditetapkan masanya, bermula dari subuh di waktu pagi, diikuti zuhur dan asar pada siang hari dan maghrib dan isyak pada waktu malam. Sebanyak 17 rakaat sehari semalam sekurang-kurangnya setiap Muslim mendirikan solat fardu. Betapa indahnya dalam tiap lima waktu yang utama, seorang Muslim mengabdikan diri kepada Sang Penciptanya.
Peristiwa Israk Mikraj berlaku ketika tempoh dakwah baginda Nabi di Mekah selepas kewafatan isteri baginda, Siti Khadijah. Setahun selepas peristiwa Israk Mikraj, baginda berhijrah ke Madinah untuk menyempurnakan baki syariat Islam yang bersifat praktikal dan perundangan.
Apa yang tersirat di sebalik peristiwa ini berkait rapat dengan asas pengutusan baginda sebagai Rasul bagi memandu manusia menyembah Allah SWT dan penyempurnaan akhlak. Ini kerana solat merupakan ibadat yang mempunyai dua dimensi utama, iaitu penyembahan Allah sebagai manifestasi seorang hamba dalam memenuhi hubungan makhluk dengan Sang Pencipta, di samping penyempurnaan akhlak sebagai manifestasi seorang khalifah dalam memenuhi hubungan antara makhluk dengan makhluk (manusia, haiwan dan alam) yang lain.
Ibadat solat ini adalah selari dengan asas penciptaan manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sepertimana disebut dalam al-Quran, surah al-Zariyat ayat 56: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.”
Pada masa sama, ibadat solat dapat menjadi pemangkin kepada pembentukan akhlak yang baik dan mampu mencegah perbuatan yang keji dan mungkar. Perkara ini dapat dilihat dalam firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 45: “dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.”
KRISIS AKHLAK
Ironinya, pada hari ini, kita berhadapan dengan krisis akhlak yang kritikal sama ada dalam dunia fizikal mahupun digital. Antaranya, kita berhadapan dengan bermacam-macam jenayah penipuan dalam pelbagai bidang kehidupan, termasuklah penipuan logo halal dalam makanan, pelaburan yang tidak wujud, mencuri identiti orang untuk tujuan jenayah, pembulian siber, gangguan seksual, keganasan berdasarkan gender, ujaran kebencian, menghina, mengecam dan menjatuhkan maruah orang, berkata lucah dan kesat. Pendek kata, 1,001 kebobrokan akhlak melanda masyarakat Islam masa kini.
Rasa malu tiada lagi, apatah lagi dengan perkembangan teknologi, ramai kalangan warga digital menyembunyikan identiti, ibarat membaling batu sembunyi tangan. Tiada rasa berdosa dan tiada rasa bertuhan dalam dunia digital.
Sedangkan dalam perjalanan untuk menerima taklifan ibadat solat juga, Rasulullah turut dipaparkan dengan pelbagai gambaran azab dahsyat yang dialami oleh wanita akibat daripada pelbagai jenis dosa dan maksiat. Walaupun golongan wanita yang dipaparkan, tetapi seksaan seumpamanya juga tidak terlepas kepada golongan lelaki sekiranya melakukan dosa dan maksiat berkaitan.
Antaranya, seksaan terhadap orang yang suka menggunakan mulutnya untuk memaki, suka membicarakan keaiban orang, mengumpat, membuat fitnah, berbohong atau menipu dan melaga-lagakan orang lain.
Jelas, ibadat solat mempunyai hubungan yang erat dengan pembentukan akhlak yang baik. Sekiranya solat tidak mampu mencegah kita daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar, marilah kita sama-sama bermuhasabah kembali dengan amalan solat kita sama ada berjaya mencapai petunjuk ibadat yang diterima di sisi Allah ataupun ditolak.
Maka perbaikilah solat. Jika ada mereka yang tidak mendirikan solat secara penuh dan sempurna, marilah bersama mendirikan solat agar tiang agama dapat ditegakkan dan akhlak mulia dapat dizahirkan sama ada dalam interaksi kita di dunia fizikal mahupun digital.
PROFESOR Madya Dr. Mohd. Anuar Ramli ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.










