‘Tembak mereka sampai mati’ - Utusan Malaysia

‘Tembak mereka sampai mati’

ORANG ramai mengusung seorang penduduk yang cedera akibat terkena peluru getah ketika demonstrasi di Yangon, Myanmar. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CHAMPAI, India: Apabila Tha Peng diarahkan supaya menembak penunjuk perasaan dengan mesingan bagi menyuraikan demonstrasi di pekan Khampat pada 27 Februari lalu, anggota polis berpangkat lans koperal itu tidak mampu melakukannya.

“Pada keesokan harinya, seorang pegawai tanya saya adakah saya akan tembak penunjuk perasaan dan sekali lagi saya jawab, saya tidak boleh lakukannya.

“Selepas itu, saya buat keputusan untuk keluar daripada pasukan polis,” katanya.

Pada 1 Mac, lelaki berusia 27 tahun itu meninggalkan rumah dan keluarganya di Khampat dan menghabiskan masa selama tiga hari sebelum memasuki negeri Mizoram di timur laut India.

“Saya tiada pilihan,” katanya ketika ditemu ramah Reuters menggunakan jurubahasa, selain mendedahkan sebahagian sahaja namanya bagi melindungi identiti dan Reuters turut memaklumkan pihaknya sudah melihat kad pengenalan Tha Peng.

Penjelasan yang diberikan oleh bekas anggota polis itu sama dengan beberapa lagi anggota polis Myanmar yang tiba di Mizoram pada 1 Mac lalu.

“Ketika pergerakan demonstrasi terus memuncak di pelbagai tempat di seluruh Myanmar, kami diarahkan supaya menembak mati penunjuk perasaan.

“Namun, kami tidak sanggup untuk menembak orang sendiri yang jelas mereka melakukan demonstrasi secara aman tanpa mencetuskan sebarang bahaya,” jelas kesemua anggota polis berkenaan dalam satu kenyataan bersama.

Junta tentera Myanmar yang melakukan rampasan kuasa sejak 1 Februari lalu tidak memberi sebarang reaksi ketika diminta Reuters untuk mengulas isu berkenaan.

Sebaliknya, junta Myanmar menegaskan apa yang mereka lakukan adalah tindakan yang wajar kerana penunjuk perasaan menyerang pasukan keselamatan, selain menjejaskan keselamatan negara.

 

Puluhan larikan diri

Kira-kira 100 orang dari Myanmar yang kebanyakannya adalah anggota polis dan keluarga mereka melarikan diri dan memasuki India sejak siri protes bermula.

Segelintir daripada mereka berlindung di daerah Champai yang bersempadan dengan Myanmar.

Dalam pada itu, selain menunjukkan kad pengenalannya, Tha Peng turut mendedahkan sekeping gambarnya yang memakai uniform polis Myanmar dan memberitahu dia sudah menyertai polis sejak sembilan tahun lalu.

 

Boleh tembak penunjuk perasaan

Jelas Tha Peng, berdasarkan undang-undang polis, mereka boleh menembak penunjuk perasaan menggunakan peluru getah atau tembak pada bahagian lutut ke bawah.

Namun, dia dan anggota lain diberi arahan supaya menembak penunjuk perasaan sehingga mati.

Seorang lagi anggota polis, Ngun Hlein memaklumkan dia juga diarahkan melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan.

Anggota polis itu menyatakan dia ditukar ke tempat lain kerana enggan mengikut arahan tentera sebelum melarikan diri ke India.

Selain itu, mereka mendakwa junta tentera memberi tekanan kepada polis terutamanya anggota berpangkat konstabel untuk melancarkan serangan terhadap penunjuk perasaan.

 

Tidak mahu balik

Seorang anggota polis wanita, Dal menceritakan dia diarahkan untuk menahan penunjuk perasaan wanita, namun enggan melakukannya dan bimbang dirinya diambil tindakan, wanita itu meninggalkan Myanmar.

Tha Peng memberitahu, hampir 90 peratus polis menyokong penunjuk perasaan tetapi mereka takut jika dikenakan tindakan keras dari tentera.

“Walaupun saya rindukan anak dan isteri, saya tidak mahu pulang kerana belum tentu saya akan hidup selepas balik ke kampung halaman,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×