ALOR SETAR: Hasrat kerajaan negeri menghasilkan benih padi sah (BPS) sendiri sebagai langkah tidak bergantung kepada pihak lain adalah bertentangan dengan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, tindakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab. Ghani membangkitkan perkara itu baru-baru ini jelas menunjukkan beliau tidak memahami akta tersebut.
“Akta 522 menegaskan isu berkaitan kawalan padi dan beras terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dengan Kementerian Pertanian melalui Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras bertindak sebagai pihak yang membuat penguatkuasaan.
“Akta itu menyatakan hanya syarikat dilantik boleh menghasilkan BPS dengan tujuan menjaga kualitinya. Selain pihak yang diberi kebenaran itu, mereka tidak dibenar menghasilkan benih padi.
“Jika itu keadaannya, bagaimana Kedah mahu menghasilkan benih padi sendiri? Kalau nak buat juga, kena ubah aktalah nampaknya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Dzowahir berkata, beberapa usaha sedang dijalankan kerajaan negeri termasuk berbincang dengan beberapa pihak berkaitan bagi menjadikan Kedah sebagai pengeluar benih padi.
Menurutnya, Kedah tidak lagi boleh bergantung kepada pihak lain untuk mendapatkan bekalan benih padi sedangkan negeri ini memegang status sebagai pengeluar padi utama negara.
Ismail berkata, cadangan sedemikian yang jelas bertentangan akta tidak sepatutnya dibangkitkan melainkan jika seseorang itu tidak memahami peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kalau saya, saya tak akan cakap begitu walaupun dengan alasan mewakili kerajaan negeri. Pihak berkenaan mungkin mahu menempelak pihak tertentu kononnya jika Persekutuan ada masalah bekalkan benih padi, biar kami buat sendiri.
“Tetapi cara itu tak kena. Daripada buat kenyataan begitu, lebih baik beliau desak Persekutuan untuk memperkemas sistem sedia ada termasuk pemberian kuota benih padi, loji penghasilan BPS dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN










