SETIAP kali Menteri Pendidikan mengumumkan sesuatu, saya terpaksa berhenti sejenak berfikir tentang apa yang dimaksudkan. Kerana ramai yang merujuk dan bertanya bagi mendapatkan pencerahan.
Apa pula kaitan dengan pengumuman sebelumnya yang masih menjadi tanda tanya? Kenapa bertalu-talu pengumuman itu dan ini menjelang penamatan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, hanya dua tahun lagi?
Bukankah lebih wajar dimantapkan yang telah dipersetujui dan dibina selama ini? Entahlah!
Mutakhir adalah pendidikan manusiawi yang dikatakan menjadi fokus setahun memegang jawatan sebagai menteri penggal pertama. Yakni bagi menentukan pencapaian menyeluruh kepada semua yang berhak mendapat pendidikan. Tidak lagi yang tercicir sepertimana aspirasi utama diperjelaskan PPPM berkenaan. Hatta sejak begitu lama di peringkat antarabangsa di bawah cogan Pendidikan untuk Semua anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Baru-baru ini diperhebatkan dengan cogan Tiada seorang pun ketinggalan di belakang di bawah Agenda 2030 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2016-2030. Pada dasarnya ini merupakan sasaran utama mencakupi aspek lima P bagi 17 matlamat SDG tersebut. Dunia sudah pun memperakukan. Pendidikan kita sudah bersedia?
Dengan kata lain, manusiawi atau tidak, bukan halnya lagi. Sememangnya manusiawi. Tidak perlu buang masa mengulangi atau diuar-uarkan. Apa yang perlu sangat diulang-ulang adalah bagaimana sasaran lima P dapat mudah dicapai dalam masa dua tahun sebelum tamat PPPM. Apatah lagi akhirnya membawa penumpuan kepada Agenda 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta UNESCO.
Malaysia akan dicongak ketika itu. Maka ia bukan setakat prasarana sahaja, lebih penting pengisian yang jelas termaktub dalam PPPM. Bahkan membangunkan ‘isi kandungan’ adalah lebih sukar daripada pembangunan fizikal! Terutama sekali pascapandemik yang menggagalkan banyak ekosistem pendidikan sejagat yang menjejaskan lima P. Malaysia antara yang teruk mengalami kecicirannya berbanding negara-negara lain di rantau ini. Ia mirip proses dan isi meskipun bangunannya yang sama juga.
Tujuh teras yang diumumkan serentak baru-baru ini tidak dapat tidak bertindih-tandan dengan enam aspirasi sistem PPPM. Mungkin istilah-istilah baharu diperkenalkan seperti ‘karamah insaniah’ yang menekan pembentukan adab, akhlak dan sahsiah! Bukan sesuatu yang baharu pada hakikatnya, malah lebih mengelirukan setiap kali dilontar istilah baharu yang pengertiannya sudah lama diterima melalui ungkapan lain.
Ambil sahaja ‘insan seimbang dan harmonis’ dalam ungkapan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) 1996 yang cukup jelas maknanya sehingga boleh disepadukan dengan Empat Tiang Pendidikan untuk Abad Ke-21 disepakati dunia termasuk Malaysia. Ketika itu, Menteri Pendidikan adalah saudara (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Beliau tidak pun kecoh. Matlamatnya jelas, bukan seperti sekarang. Tidak ada perkataan Madani pun, tetapi hakikatnya ‘madani’ seiring FPK. Malangnya, kini FPK sengaja dicicirkan. Natijahnya, pendidikan pasti turut tercicir sebab nilainya susut dengan teruk tanpa konsep sejahtera FPK.
PRU16
Anehnya diumumkan pula perbincangan masa hadapan pendidikan negara 2027 diikuti jerayawara ke negeri-negeri. Agak bersemangat. Namun, mengapa 2027? Mengapa tidak lima tahun mencakupi 2030 serentak Agenda 2030 apabila Malaysia akan diadili? Termasuk para menterinya yang menang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Cukup tak masuk akal kerana kerangka pendidikan umumnya memakan masa panjang untuk memberi kesan kecualilah yang lebih dipentingkan adalah PRU16. Yakni politik terus menghantui pendidikan, satu formula yang pasti mencicirkan lagi hasrat pendidikan manusiawi. Jenaka yang tentu sahaja mendatang seribu tanda tanya membingungkan!
Ambil sahaja contoh kebersihan tandas yang diberikan sebagai usaha tidak langsung terhadap pertanggungjawaban kesihatan diri, namun tidak sama sekali disentuh soal salah guna nikotin dalam cecair vape oleh para pelajar sekolah khususnya. Sedangkan ia isu hangat manakala dilaporkan tandas sekolah bertukar sarang utama bagi kegiatan ‘haram’ tersebut.
Di manakah aspek kebersihan dan kesihatan hati nurani manusiawi? Semuanya turut diliputi oleh ruangan ini dari mula atas dasar ia amat membahayakan sebagai punca keciciran yang amat jelas daripada pelbagai kajian antarabangsa. Tetapi pihak berkenaan terus membisu sejak tercetusnya langkah ‘menghalalkan’ dadah beracun ini bagi anak-anak bawah umur 18 tahun oleh rakan menteri sejawatan dengannya. Seolah-olah bersekongkol menjahanamkan masa hadapan anak bangsa secara sedar atau tidak.
Bukan hanya sekadar tercicir. Mengapa menteri sendiri menginjak ‘karamah insaniah’ yang diulanginya? Manakan tidak, ekosistem pendidikan turut huru-hara? Lantas, berapa ramai lagi remaja perlu dikorbankan sebelum tindakan mengharamkan semula nikotin vape mengikut Akta Racun sebelum 1 April 2023? Kemelut ini sahaja sudah cukup membingungkan sehingga Menteri Kesihatan disaman oleh tiga pertubuhan bukan kerajaan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara!
Begitu juga dengan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) berbanding STEAM (A untuk Kesenian sedangkan E = Etika, dan M = Pengurusan) atau STREAM (R = Agama) mengikut tahap manusiawi? Mengapa terpaku dengan STEM secara mutlak sedang yang dua lagi lebih manusiawi tahapnya?
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) misalnya mengolah STREAM sesuai dengan strategi Memanusiawikan Pendidikan dan Kerangka Ilmiah Sejahtera sejak dua tahun lalu. STEAM adalah lebih cenderung untuk murid prasekolah kerana ia mengambil kira kecenderungan kanak-kanak dalam kedua-dua bidang, iaitu sains dan sastera yang perlu dikenal pasti sejak kecil supaya dapat disuburkan.
Lagipun sains semakin hampir bidang berkaitan seni, industri kreatif, animasi, pereka bentuk, reka bentuk fesyen dan bidang-bidang baharu lain yang bakal muncul. Di mana Kementerian Pendidikan setahun yang lepas dalam hal ini? Alamatnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Seperti yang ditakuti, akhirnya tercicir juga kesudahannya! – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).











