Makin ramai lelaki jadi mangsa gangguan seksual - Utusan Malaysia

Makin ramai lelaki jadi mangsa gangguan seksual

Semakin ramai lelaki mengadu alami gangguan seksual. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 411 kes atau 27.7 peratus daripada 1,486 aduan berkaitan gangguan seksual direkodkan melibatkan mangsa lelaki sekali gus menun­jukkan semakin ramai lelaki menjadi mangsa.

Timbalan Menteri Pemba­ngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, pihaknya menerima 1,486 keseluruhan aduan berkaitan gangguan seksual menerusi data daripada Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) sepanjang tempoh 14 siri Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual diadakan.

“Daripada jumlah itu, seba­nyak 411 kes (27.7 peratus) melibatkan mangsa lelaki,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara semalam.

Pada 29 Oktober lalu, beliau berkata, PSSS menerima 1,213 laporan daripada mangsa gangguan seksual sepanjang 12 siri Program Jerayawara sejak dilancar pada Mei lalu dengan 351 orang atau 28.9 peratus membabitkan golongan lelaki.

“Bagi memastikan gangguan seksual difahami dan meningkatkan kesedaran, kerajaan telah melaksanakan Program Jerayawara Kasih KPWKM@Advokasi Antigangguan Seksual di 14 ne­geri melibatkan 19,423 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Katanya, pelbagai program advokasi diadakan bersama pihak swasta dan badan bukan kerajaan bagi pencegahan dan meningkatkan kesedaran gangguan seksual di premis masing-masing.

“Sebanyak 54 program advokasi telah dilaksanakan dengan pelbagai pihak termasuk Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) membabitkan 9,354 peserta.

“Selain itu, promosi serta hebahan juga diperluas melalui media sosial dan media massa membabitkan seramai 3.5 juta pendengar, penonton dan pembaca,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×