PETALING JAYA: Line Clear Express bekerjasama dengan Mail Boxes Etc. (MBE) bagi perkongsian saluran strategik untuk mengembangkan perkhidmatan kepada pelanggan runcit.
Line Clear Express berkata, kerjasama itu untuk mengembangkan industri kurier tempatan, mempromosikan kedua-dua jenama kepada khalayak lebih luas, dan meningkatkan kehadiran dalam pasaran kurier, ekspres dan bungkusan Malaysia.
“Industri dijangka akan berkembang daripada AS$1.32 bilion tahun ini kepada AS$2.55 bilion menjelang 2028 menurut laman web industri Mordor Intelligence,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Line Clear, ia akan menumpukan pada mengekalkan perkhidmatan penghantaran Line Clear Express yang lancar, boleh dipercayai dan cekap.
Selain itu, MBE akan berusaha mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju negara rangkaian francais dalam perkapalan runcit, pos, percetakan dan pusat perniagaan.
Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Line Clear Express & Logistics Sdn. Bhd., Jeff Chong berkata, perkongsian dengan MBE, kejayaan untuk Line Clear Express
“Kami memperluaskan pangkalan pelanggan bukan sahaja MNC dan PKS, malah pasaran pengguna runcit sejajar dengan usaha penembusan pasaran secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MBE Malaysia, Patrick Leung berkata, perkongsian mewujudkan sinergi yang melangkaui perniagaan dan meningkatkan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan.
“Kami percaya kerjasama ini akan memperkenalkan perkhidmatan yang lebih berharga yang memanfaatkan yang terbaik dari kedua-dua pihak,” katanya.
Dalam pada itu, perkongsian itu turut menyaksikan pelancaran produk baharu Line Clear Express iaitu Value6.9.
“Pelancaran Value6.9 sejajar dengan kempen Line Clear Express ‘Takyah Ukur, Takyah Timbang’ yang menggabungkan rangkaian PremiumBox dan FreshBox sedia ada untuk memberikan nilai yang lebih besar kepada pelanggan,” katanya. – UTUSAN










