Belian asing ekuiti Malaysia berterusan berjumlah RM246.3 juta

Belian asing ekuiti Malaysia berterusan berjumlah RM246.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belian asing bagi ekuiti Malaysia menjangkau minggu kelima berturut-turut pada RM246.3 juta minggu lepas, namun susut 35.7 peratus daripada RM382.8 juta minggu sebelumnya.

Dalam laporan aliran dana mingguannya, MIDF Research berkata, pelabur asing menjual bersih ekuiti sebanyak RM70.0 juta pada Isnin lepas, namun menjadi pembeli bersih untuk sepanjang minggu.

Katanya, tiga saham teratas yang mereka jual bersih ialah CIMB Group Holdings Bhd. berjumlah RM29.4 juta, diikuti Tenaga Nasional Bhd. (RM10.7 juta) dan MISC Bhd. (RM10.0 juta).

“Pelabur asing membeli bersih ekuiti sebanyak RM114.3 juta pada Selasa, Rabu (RM59.8 juta), Khamis (RM30.6 juta) dan Jumaat  (RM111.5 juta),” katanya dalam nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan sebanyak RM150.6 juta, diikuti utiliti (RM132.2 juta) dan penjagaan kesihatan (RM64.6 juta).

Manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi pula ialah produk dan perkhidmatan pengguna berjumlah RM112.1 juta, pengangkutan dan logistik (RM48.9 juta), dan tenaga (RM20.6 juta).

Jelasnya, berbanding pelabur asing, institusi tempatan terus mencatat jualan bersih untuk minggu kelima berturut-turut, dengan melupuskan RM457.2 juta ekuiti.

“Mereka membeli bersih ekuiti sebanyak RM7.5 juta pada Isnin, tetapi menjual bersih dari Selasa hingga Jumaat. Mereka menjual bersih ekuiti sebanyak RM152.7 juta pada Selasa, manakala Rabu (RM123.2 juta), Khamis (RM45.2 juta) dan Jumaat (RM143.7 juta).

“Selepas tujuh minggu melakukan jualan bersih, peruncit tempatan membeli bersih ekuiti sebanyak RM210.9 juta di Bursa Malaysia minggu lepas, belian bersih setiap hari dalam seminggu, senario yang kali terakhir dilihat pada awal Januari 2023.

“Mereka membeli bersih RM62.5 juta pada Isnin, Selasa (RM38.4 juta), Rabu (RM63.3 juta), Khamis (RM14.6 juta) dan Jumaat (RM32.2 juta),” katanya.

Firma itu berkata, dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata volum dagangan harian di seluruh papan Bursa dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 4.5 peratus, institusi tempatan (7.7 peratus) dan pelabur asing (110.2 peratus).

Mengulas senario antarabangsa, MIDF berkata, kebanyakan pasaran utama meningkat sepanjang minggu lalu, di tengah-tengah tanda-tanda inflasi menyederhana, yang mungkin menggalakkan penggubal dasar untuk mula mempertimbangkan pemotongan kadar pada 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×