KEMENANGAN calon Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman dengan slogan Calon Perdana Menteri adalah satu mesej besar kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Mesejnya jelas, kini Pas, bukan Bersatu adalah ‘abang besar’ dalam Perikatan Nasional (PN). Bersatu kini adalah jaringan terlemah dalam PN dan Bersatu kini sudah hilang jawatan calon Perdana Menteri yang sebelumnya dipunyai olehnya kepada Pas.
Sebelum ini, jawatan calon Perdana Menteri dari PN sering disebut merujuk kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. Begitu juga jawatan Ketua Pembangkang yang disandang oleh Hamzah.
Tetapi kini Bersatu terjejas teruk setelah lima ahli Parlimennya sudah beralih menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim – Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang).
Tiada susun atur penggantian kepimpinan yang jelas serta wujud ketidaktentuan dan perebutan kuasa sengit dalam Bersatu mutakhir ini dengan Muhyiddin membuat pusingan U soal perletakan jawatan, mengumumkannya tetapi kemudian menarik balik pengumuman setelah dipujuk isterinya.
Di sebalik kemelut dalaman Bersatu ini, Muhyiddin tiba-tiba menyifatkan sokongan rakyat terhadap Pas sudah tepu sebelum parti itu menjalinkan kerjasama membentuk PN. Mesej Muhyiddin kepada Pas ialah Pas tidak boleh bersendirian dan hanya boleh menang besar dengan bantuan Bersatu.
Kenyataan Muhyiddin ini tidak disenangi oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang menegur beliau supaya membangkitkan perkara lain, bukan perkara remeh-temeh antara parti mereka. “Kebetulan dengan Bersatu kita berjaya, itu bukan menunjukkan ada parti yang kuat (atau sebaliknya),” tegas Hashim.
Walaupun lima ahli Parlimen Bersatu sudah lari dan kemungkinan lebih ramai akan menyusul, Pas langsung tidak terjejas dengan pergolakan dalaman Bersatu. Sebaliknya Pas mengambil ruang daripadanya untuk mengukuhkan kedudukan parti.
Pas menobatkan Ahmad Samsuri dalam PRK Kemaman dengan slogan Calon Perdana Menteri bagi menunjukkan kesediaan Pas untuk menerajui kerajaan. Ini bagi menunjukkan Pas tidak bergantung kepada Bersatu tetapi Bersatu yang terpaksa bergantung kepada Pas.
Hakikatnya memang begitu. Semua calon Bersatu yang menang di Kelantan dan Terengganu menggunakan logo Pas. Malah semua calon parti itu di dua negeri tersebut serta di negeri-negeri lain menumpang ihsan daripada kekuatan jentera akar umbi Pas sahaja sebelum ini.
PROTES
Kemenangan Pas di Kemaman dengan Ahmad Samsuri dijaja secara terbuka sebagai calon Perdana Menteri berjaya dari sudut memobilisasi penyokong Pas untuk keluar mengundi sehingga beliau berjaya mengekalkan 64,998 daripada 65,714 undi calon Pas, Che Alias Hamid dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, Barisan Nasional (BN) gagal memobilisasi pengundinya sehingga menyebabkan calonnya, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor hanya memperoleh 27,778 undi, kurang 10,757 undi berbanding undi calon BN dalam PRU15, Datuk Seri Ahmad Said, iaitu 38,535.
Berdasarkan tinjauan di Kemaman, kekurangan 10,757 undi calon BN ini disebabkan dua faktor. Faktor utama kerana PRK Kemaman tidak dilihat penting kepada kedudukan kerajaan perpaduan di peringkat nasional. Ini menyebabkan ramai pengundi luar khususnya serta sesetengah pengundi tempatan tidak mempunyai motivasi kuat untuk pulang mengundi.
Faktor kedua ialah kerana pucuk pimpinan tertinggi UMNO tidak memandang berat harapan dan desakan supaya rombakan dibuat kepada komposisi UMNO negeri selepas kekalahan teruknya di Terengganu dalam PRU15 pada 19 November 2022 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu pada 12 Ogos lalu. Ini menyebabkan ramai dalam kalangan penyokong UMNO sama ada tidak keluar mengundi atau membuat keputusan untuk mengundi calon daripada musuh tradisi mereka, Pas sebagai tanda protes.
Cakap-cakap dalam kalangan penyokong Pas Kemaman dan Terengganu ialah supaya Ahmad Samsuri dijadikan Perdana Menteri sesegera mungkin tetapi bagaimana ini akan berlaku kerana mustahil kerajaan perpaduan yang mempunyai lebih dua pertiga majoriti di Parlimen untuk ditumbangkan di pertengahan jalan.
Malah perkara sebaliknya pula berlaku bila lima ahli Parlimen PN yang menyatakan sokongan terbuka kepada Anwar sekali gus menambahkan lagi hakikat bahawa kerajaan perpaduan tidak akan tumbang dan jeritan supaya Ahmad Samsuri diangkat segera sebagai Perdana Menteri hanya omong-omong kedai kopi. Tambahan pula bila BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS) tidak menampakkan sebarang langkah untuk berpaling tadah.
DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.











