HULU TERENGGANU: Ketibaan musim tengkujuh menjadi lubuk rezeki buat seorang wanita di Kampung Dura, dekat sini yang menghasilkan ikan salai bagi menambah pendapatan keluarga.
Ruhayu Sudin, 37, berkata, bekalan ikan air tawar seperti toman dan sebarau disalai itu diperoleh daripada abang iparnya, Mohammad Ismail, 48, yang menangkapnya di kawasan Tasik Kenyir.
Katanya, menyalai ikan adalah pekerjaan tradisi penduduk kampung sejak lebih 50 tahun lalu pada musim tengkujuh.
“Sebelum ini, aktiviti salai ikan ini dilakukan ibu, Zabedah Mat Daik, 68, dan diteruskan oleh saya selepas ibu tidak melakukan kerja-kerja tersebut disebabkan faktor usia serta kesihatannya.
“Proses menghasilkan ikan salai tidaklah begitu rumit tetapi tetap perlu ada caranya.
“Kayu api digunakan perlu ada cara susun serta sorongnya yang tersendiri. Kita juga perlu mahir kawal api bagi elak ikan hangus, tetap menguji kesabaran kerana perlu bermain dengan asap,” katanya ketika ditemui di Kampung Dura semalam.
Menurut Rohayu, tempoh menyalai sehari sahaja dan lazimnya ikan patin atau toman yang beratnya lebih lima kilogram dipotong kecil kerana lebih mendapat permintaan pelanggan berbanding saiz besar.
“Ikan disalai mendapat permintaan dalam kalangan penduduk setempat sehinggakan hanya dalam tempoh dua hingga tiga jam selepas siap disalai, ia habis dijual,” katanya. – UTUSAN










