PROJEK sakit merujuk kepada projek yang mengalami kelewatan melebihi 30 peratus berbanding kemajuan yang sepatutnya atau Perjanjian Jual Beli (SPA) sudah tamat tempoh.
Pelbagai faktor boleh mendorong kepada isu tersebut termasuk kos penawaran projek yang rendah, tekanan ekonomi semasa, pengurusan projek yang lemah dan pelbagai lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Jabatan Senibina Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia, Ar. Aznida Azlan berkata, kos penawaran projek yang rendah oleh kontraktor dalam penawaran kontrak merupakan salah satu faktor yang mendorong kepada projek sakit.
Katanya, perkara tersebut menyebabkan kontraktor tidak dapat menampung kos pembinaan yang sebenar.
“Selain itu, tekanan ekonomi semasa seperti kenaikan Kadar Dasar Semalam (OPR) dalam projek yang melibatkan pinjaman bank oleh kontraktor juga mempengaruhi serta mendorong kepada isu tersebut.
“Kenaikan kadar inflasi menyebabkan kenaikan harga bahan-bahan pembinaan secara drastik dalam tempoh pelaksanaan kontrak. Ini menyebabkan kontraktor tidak mampu menampung kos projek,” katanya di sini baru-baru ini.

Aznida berkata, pengurusan projek yang lemah oleh kontraktor dan pasukan projek juga menyebabkan implikasi pelanjutan masa projek yang turut menyebabkan penambahan kos projek.
Jelasnya, kegagalan dan kelewatkan pembayaran oleh klien kepada kontraktor atau kaedah pembayaran yang kurang sesuai menyebabkan berlaku pelanggaran kontrak pembinaan.
“Kelewatan dan kegagalan pemilik projek untuk membuat bayaran kepada kontraktor akan menyebabkan mereka berhak untuk menamatkan kontrak serta tidak menyiapkan projek.
“Masalah kewangan yang dihadapi oleh pihak yang terlibat dalam kontrak pembinaan terutama di pihak pemilik atau pembiaya projek (klien) atau di pihak kontraktor menyebabkan projek tidak dapat diteruskan,” ujarnya.
Berdasarkan kenyataan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 1 Disember lalu, sehingga 31 Oktober 2023, Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) telah merekodkan sebanyak 55 projek lewat, 497 projek sakit dan 117 projek perumahan swasta yang telah disahkan terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM74.92 bilion.
Sepanjang Oktober lalu, KPKT melalui TSFT telah berjaya memulihkan 50 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai dengan 4,986 unit, rekod tertinggi dalam tempoh 10 bulan sejak TFST ditubuhkan bermula Januari 2023.
Sehingga 31 Oktober 2023, sebanyak 351 projek iaitu 43,738 unit rumah dengan GDV sebanyak RM32.87 bilion berjaya dipulihkan.
Bagi menangani isu projek sakit, Aznida mencadangkan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) disemak semula dan ditambah baik dengan mengenakan syarat yang lebih ketat kepada pemaju dalam soal pemberian permit dan lesen.
Jelasnya, ini bagi memastikan pemaju lebih bertanggungjawab untuk menyiapkan projek hartanah khasnya perumahan yang melibatkan hak pembeli.
“Kerajaan khasnya perlu melantik pihak ketiga atau agensi bebas yang dapat memantau perkembangan projek perumahan sakit pada peringkat pembinaan bagi mengelakkan ia lebih kritikal dan terbengkalai.
“Mengenakan tindakan undang-undang dan penguatkuasaan yang lebih efektif terhadap pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek pada tempoh yang ditetapkan dalam kontrak dan perjanjian jual beli,” ujarnya.
Tambahnya, agensi di bawah KPKT perlu memainkan peranan dalam memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat awam khasnya pembeli hartanah tentang prosedur pembelian hartanah dan hak pembeli di bawah undang-undang berkaitan. – UTUSAN









