PETALING JAYA: Jika UMNO benar-benar bekerjasama Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sekalipun, majoriti pengundi kemungkinan besar sukar untuk menerima pakatan politik tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin dari Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) berpendapat rakyat terutamanya majoriti pengundi Melayu sukar untuk menerima PH.
Beliau juga menganggap, disebabkan landskap politik negara masih lagi berasaskan kaum, pakatan UMNO-PH akan menemui kegagalan sama seperti apa yang berlaku ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak keluar dari gabungan PH untuk membentuk Perikatan Nasional (PN).
“Apakah ada jaminan bahawa gabungan UMNO dan PH boleh bertahan tanpa dipengaruhi oleh pihak tertentu dan memastikan kedudukan Melayu dan bumiputera terus terpelihara?
“Kestabilan dan keseimbangan politik negara masih bergantung kepada dominasi parti Melayu Islam dan merekalah yang boleh menjamin perpaduan negara setakat ini. Perkara ini hanya boleh diubah jika pengundi Melayu boleh terima PH dan pengundi bukan Melayu boleh terima UMNO,” katanya.
Pada masa sama, Noor Nirwandy berpandangan UMNO mungkin tidak boleh menjadi parti dominan jika bersama PH.
“Ketika di zaman pentadbiran PH, pelbagai masalah berlaku sehingga mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara. Perbalahan seperti ini tidak sepatutnya berlaku sehingga menggugat kestabilan negara,” katanya.
Justeru, Noor Nirwandy beranggapan walaupun tidak mustahil UMNO dan PH menjalinkan kerjasama, beliau berpendapat negara ketika ini amat memerlukan situasi politik yang stabil dan seimbang supaya segala dasar dan polisi kerajaan dapat dijayakan dan memberi manfaat kepada rakyat.
“Tidak mustahil untuk wujudkan ‘third force’ bagi mengubah landskap politik sempit yang berasaskan kaum, tetapi hanya ahli politik yang boleh mengubah situasi politik negara, yang boleh menjamin kepentingan semua kaum tanpa mengancam mana-mana pihak.
“Jika tidak selagi itulah parti berasaskan kaum dan agama masih relevan, malah polarisasi kaum akan berterusan,” katanya. – UTUSAN











