Penjara sesak: Perlu cari kaedah selain ikat jamin

Penjara sesak: Perlu cari kaedah selain ikat jamin

Kaedah ikat jamin yang dikenakan terhadap suspek sesuatu kes dicadang dilihat semula kerana ada yang tidak mampu membayarnya dan terpaksa ditahan di dalam penjara sementara menunggu tarikh bicara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mahkamah tiada pilihan selain mengenakan wang ikat jamin terhadap orang kena tuduh (OKT) kerana keterbatasan peruntukan undang-undang Kanun Prosedur Jenayah walaupun membabitkan tuduhan kesalahan kecil.

Keadaan itu menyebabkan ramai OKT terutama yang tidak berkemampuan membayar wang jaminan terpaksa dihantar ke penjara sementara menunggu perbicaraan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, peguam Mior Nor Haidir Suhaimi berkata, Seksyen 390 Kanun Prosedur Jenayah hanya menetapkan nilai bon atau wang ikat jamin bagi membebaskan tertuduh sementara menunggu bicara dengan amaun harus mengikut satu kadar sepatutnya bersama syarat tambahan.

Menurutnya, ikat jamin itu pula tidak boleh dipengaruhi sama ada OKT berhadapan jenayah kecil seperti mencuri barang-barang di pasar raya dan lain-lain premis atau dengan jenayah lebih besar.

“Tiada kaedah lain agar tertuduh boleh dilepaskan seperti syarat jaminan lain antaranya melapor diri di balai polis berhampiran dan sebagainya.

“Malah ada bayaran ikat jamin dikenakan dengan jumlah agak tinggi dan OKT pula tiada duit untuk membayarnya. Situasi ini menyebabkan mereka terpaksa dihantar ke penjara sehingga perbicaraan selesai yang memakan masa antara satu hingga dua tahun,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan sebanyak 36.3 peratus atau 26,869 daripada 67,758 banduan yang ditahan di 47 penjara seluruh negara adalah tahanan reman sehingga menjadi faktor kesesakan di penjara.

Keadaan itu juga membebankan kerajaan apabila terpaksa membelanjakan kos makanan kira-kira RM435 juta setahun de­ngan mengambil kira kos setiap tahanan RM50 sehari.

Pada masa sama, Mior Nor Haidir berkata, mahkamah disarankan untuk menetapkan satu jumlah ikat jamin yang tidak terlalu tinggi hingga membebankan tertuduh dengan mengambil kira jenis kesalahan dan latar belakang keluarga.

Beliau berpendapat, hakim bicara boleh mengenakan syarat tambahan seperti penjamin hendaklah dalam kalangan ibu bapa atau ahli keluarga dan melapor diri di balai polis jika ingin me­netapkan wang jaminan yang rendah.

Katanya, perkara tersebut perlu diambil perhatian serius oleh kerajaan dan badan kehakiman memandangkan banduan reman belum lagi disabitkan bersalah, tetapi mereka dihantar ke penjara seolah-olah telah bersalah.

“Berdasarkan pengalaman, Timbalan Pendakwa Raya pada kebiasaannya memohon wang ikat jamin yang maksimum, namun, peguam atau tertuduh me­rayu jumlah itu dikurangkan. Akhirnya mahkamah memutuskan kadar ikat jamin setimpal, tetapi ada OKT tidak mampu.

“Jadi, akhirnya dihantar ke penjara. Situasi tersebut menyebabkan penjara kini sesak, malah ada banduan reman terpaksa tinggal bersama banduan sabitan sehingga ada kalangan mereka mengalami tekanan perasaan. Ada juga terpaksa bercerai dan hilang pekerjaan kerana berstatus banduan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×