Mampukah PN tawan Selangor tanpa UMNO - Utusan Malaysia

Mampukah PN tawan Selangor tanpa UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Umum sedia maklum bahawa Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sela­ngor pada 5 Januari lalu setelah perbincangan dilakukan dalam mesyuarat Majlis Tertingginya.

Bekas Menteri Besar Sela­ngor itu secara jelas menyatakan akan meneruskan dasar peduli rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi baharu serta menjamin penyampaian perkhidmatan yang efisien.

Malah, bekas Timbalan Presi­den PKR itu dilihat menjadikan dasarnya itu seakan-akan sama dengan corak pentadbirannya ketika dilantik mengetuai pentadbiran negeri berkenaan pada 23 September 2014.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendekatan diambil Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) itu memperlihatkan keseriusan PN merampas semula Selangor daripada Pakatan Harapan (PH) yang memerintah sejak 2008 selepas menjatuhkan Barisan Nasional (BN).

Tekad PN juga tidak dinafikan apabila Badan Perhubungan Negeri PN Selangor melantik ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Pengarah Pilihan Raya negeri.

Malah, peluang menawan Se­langor dilihat semakin cerah apabila wujudnya pergolakan dalaman PH antara PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) selepas timbul suara tidak puas hati melibatkan penerimaan individu lompat parti dalam gabungan tersebut.

Menurut sumber, PN mempunyai peluang untuk merampas semula Selangor daripada PH dengan melihat struktur organisasi dalam kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Pas.

“Ini kerana pengaruh beliau (Mohamed Azmin) boleh dikatakan besar dan pernah menewaskan Rafizi Ramli dalam bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

“Beliau boleh melakukan ‘sesuatu’ dan PH jangan memandang rendah dengan kebolehannya kerana perjalanan politiknya sentiasa konsisten dari semasa ke semasa,” kata sumber kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, sumber berkata, walaupun mempunyai peluang cerah untuk menawan semula Selangor, PN berdepan dengan situasi getir tanpa ketia­daan UMNO.

“Walaupun PN menjadi pilihan pengundi, mereka jangan lupa UMNO juga mempunyai penyokongnya tersendiri.

“Oleh demikian, ketiga-tiga parti ini perlu segera duduk berbincang sekiranya mahu menawan Selangor secara keseluruhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini