Dividen 2023 KWSP dijangka lebih tinggi – Penganalisis

Dividen 2023 KWSP dijangka lebih tinggi – Penganalisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengagihkan kadar dividen lebih tinggi bagi 2023, dipacu oleh prestasi perolehan yang baik bagi sembilan bulan pertama tahun ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, jumlah aset di bawah pengurusan KWSP turut naik kepada RM1.1 trilion dari RM1 trillion pada akhir tahun lepas.

Katanya, perkembangan ini adalah pencapaian yang dipatut dibanggakan kerana agensi itu mampu memberikan pulangan yang lebih baik.

“Perkara ini dicapai dalam pasaran kewangan global mencabar dan krisis geopolitik yang berterusan.

“Pemulihan ekonomi negara juga memberikan kesan positif dengan peningkatan caruman dan pertambahan ahli dengan pertambahan pekerjaan baharu,” katanya.

Baru-baru ini, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2023, meningkat 33 peratus daripada RM36.04 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada tahun sebelum­nya.

Jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh berkenaan.

Pada suku ketiga pula, KWSP mencatatkan pendapatan pe­la­buran sebanyak RM14.67 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos.

Mengulas mengenai pengenalan Akaun Fleksibel yang boleh dikeluarkan apabila berlaku kecemasan, beliau berkata, akaun tersebut sepatutnya diwujudkan sudah lama lagi.

“Peristiwa-peristiwa yang ber­laku sewaktu pandemik dan pertambahan pekerja ekonomi gig dengan ramainya terutama­nya yang bekerja sendiri mungkin menjadi pendorong kepada kerajaan untuk memperkenalkan Akaun Fleksibel.

“Ini bagi membantu golo­ngan ini yang kebanyakan adalah golongan muda dari kalangan bumiputera,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menjangkakan dividen bagi tahun 2023 akan berada sekurang-kurangnya pada paras lima hingga enam peratus.

Jelasnya, ini berdasarkan ke­naikan caruman terkumpul pada separuh pertama tahun ini sebanyak 46 peratus kepada RM3.93 bilion, satu pencapaian yang memberangsangkan.

“Sejak hujung tahun lepas, keadaan ekonomi Malaysia bertambah baik terutama selepas kerajaan perpaduan diperkenalkan sebagai Kerajaan Madani dan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Faktor ini juga sebagai pemangkin untuk kemasukan pelabur asing ke Malaysia. KWSP juga membuat pelaburan di luar negara yg juga menyumbang kepada pendapatan keseluruhan.

“Dengan adanya Kerajaan yang agak stabil dan ekonomi yang berkembang dan inflasi menurun membolehkan pendapatan KWSP meningkat dan memberi pulangan yang baik,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×